Mauricio Pochettino mengakui harapan Tottenham Hotspur untuk menjulang Liga Perdana Inggeris (EPL) secara realistiknya sudah berakhir.

Selepas hanya satu kemenangan dalam lima perlawanan terakhir liga menyaksikan Spurs ketinggalan 18 mata kepada Manchester City yang memiliki peluang besar untuk meraih gelaran.

Skuad kendalian Pochettino itu dianggap pencabar dalam kelompok utama tatkala mereka akan berhadapan Stoke City.

Sungguhpun Pochettino pantas menganggap bola sepak adalah sukar untuk diramalkan, dia mengulangi jurang di antara mereka dan City.

"Secara realitinya sangat sukar untuk memikirkan bahawa kami akan memenangi gelaran," kata bos Spurs itu.

"Memang benar, ia masih terlalu awal dan mungkin kami sedang bergelut manakala giliran kelab lain pula akan mengalami nasib serupa pada masa akan datang. Dalam bola sepak anda tidak pernah tahu apa yang akan berlaku.

"Seperti biasa, saya akan bersikap jujur. Jurang mata itu terlalu besar. Manchester City melakukan kerja hebat sejak awal musim ini.

"Bukan kami sahaja, kami semua berusaha untuk menghambat mereka. Mereka melakukannya dengan hebat.

"Sekiranya kami membandingkan prestasi tinggi dalam beberapa musim yang lalu dan kami menempuhi keadaan yang lebih kurang sama, mungkin sedikit lebih baik kerana kami mendahului peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (UCL) tetapi kelab lain seperti Manchester City telah pesat meningkat dan mewujudkan jurang besar.

"Hari ini, jurang besar itu cukup besar sekali tetapi dalam bola sepak jika anda selalu mempunyai kepercayaan, anda boleh mencapai apa yang anda mahukan. Dinamik boleh berubah dalam bola sepak, semuanya berkemungkinan."