Bekas penjaga gol Arsenal, Bob Wilson, menjangkakan Tottenham akan menamatkan saingan liga musim ini di kedudukan lebih baik daripada The Gunners.

Spurs gagal mengatasi Arsenal dalam setiap kejohanan sejak musim 1994-95, namun mereka dalam persaingan sengit kali ini selepas hanya dipisahkan satu mata musim lalu.

Tottenham ketika ini menghuni kedudukan kedua liga, tiga mata di hadapan Arsenal yang menduduki tempat keempat, namun kekurangan satu perlawanan.

"Ada kemungkinan (Tottenham menghuni kedudukan lebih baik)," Wilson menberitahu Omnisport menjelang Anugerah Bola Sepak London.

"Saya boleh terima jika sekali dalam tempoh 20 tahun Spurs akan mengatasi Arsenal. Saya sudah bersiap sedia untuk menghadapi senario itu.

"Bagi pengendali, Mauricio Pochettino, apa yang telah dia lakukan sejak berada di Spurs, pada saya dia memiliki percaturan yang bagus.

"Saya telah mendengar beberapa perkara yang dia lakukan kepada pemain dalam sesi latihan, saya menyokong segala inisiatif yang dia lakukan. Dia juga memiliki skuad yang muda."

Spurs masih belum menjulang sebarang kejuaraan di bawah kendalian Pochettino dan baru-baru ini mereka tersingkir daripada saingan Liga Europa.

Bagaimanapun, Wilson berasakan Spurs berpeluang menamatkan musim ini dengan kejuaraan.

"Mereka akan menamatkan musim ini sekurang-kurangnya dengan satu piala," tambahnya.

"Mereka mungkin terkeluar daripada saingan Eropah tetapi mereka masih dalam perebutan Piala FA dan kejuaraan liga."