Gareth Bale memberikan satu mesej buat bekas pengurus Tottenham, Jose Mourinho, sebaik menewaskan Southampton 2-1 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi dengan berkata mereka sepatutnya lebih menekankan permainan menyerang.

Mourinho dipecat Isnin lalu selepas peluang Spurs untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan kelihatan semakin samar dan tempatnya kini digantikan oleh Ryan Mason sehingga penghujung musim ini.

Dengan kontroversi penubuhan Liga Super Eropah (ESL), yang turut melibatkan Spurs, berita mengenai pemecatan Mourinho seolah-olah tidak mendapat tumpuan.

Tetapi dengan berita mengenai kejohanan kontroversi itu semakin reda, tumpuan kembali terarah kepada permainan Spurs dan Mason -- yang menjadi pengurus termuda dalam sejarah EPL (29 tahun dan 312 hari) -- memulakan aksi pertamanya dengan kemenangan.

Ia mungkin tidak semenarik itu seandainya Son Heung-min tidak menjaringkan sepakan penalti pada penghujung permainan untuk memastikan tiga mata berkenaan tetapi kemenangan itu sekurang-kurangnya kembali melonjakkan kedudukan Spurs dengan kini hanya ketinggalan dua mata di belakang kelompok empat teratas.

Bale secara sukarela memberikan pandangannya mengenai apa yang perlu diperbaiki Spurs sejak ketiadaan Mourinho sambil bersetuju dengan laporan bahawa pemain berasa kecewa dengan pendekatan negatif pengendali berbangsa Portugis itu.

"Mungkin dengan sedikit lebih banyak menyerang," kataya kepada Sky Sports. "Kami mahu menyerang.

"Kami pasukan besar, kami mempunyai pemain yang hebat dan kami perlu lebih menyerang dan kekal di bahagian atas padang dan saya fikir itulah yang kami lakukan hari ini."

Aksi yang dipamerkan Spurs dalam babak pertama bukanlah seperti yang dimahukan tetapi mereka memperbaikinya dalam babak kedua.

Bale beranggapan permulaan perlahan itu adalah disebabkan oleh pergolakan pasukan berkenaan dan bukannya disebabkan kontroversi ESL.

"Sebagai pemain, apa yang kami tumpukan adalah untuk mencuba membantu pengurus baru menyesuaikan diri. Setahu saya, isu (mengenai ESL) sudah ditutup.

"Ia tidak berlaku, jadi kami baik-baik sahaja. Kami dapat meneruskannya seperti biasa," tambahnya.