Bintang Liverpool, Virgil van Dijk, merupakan satu-satunya pemain yang menikmati musim cemerlang berbanding bek tengah Leicester City, Caglar Soyuncu, dalam Liga Perdana Inggeris musim ini, kata tonggak tengah Manchester City, Ilkay Gundogan.

Leicester mencipta kejutan dalam saingan musim ini tatkala skuad kendalian Brendan Rodgers itu kini menduduki tangga ketiga liga.

Soyuncu merupakan tonggak utama dalam The Foxes tatkala pemain Turki itu beraksi dalam 28 daripada 29 perlawanan dan mencipta gandingan mantap dengan Johnny Evans.

Hanya Liverpool dan Sheffield United melepaskan jaringan kurang daripada 28 gol dibolosi Leicester dan Soyuncu -- yang menggantikan Harry Maguire susulan perpindahan ke Manchester United -- dilaporkan menarik minat kelab besar.

City juga dikaitkan dengan pemain berusia 24 tahun itu tatkala Pep Guardiola mahu memperkasakan barisan pertahanan dan Gundogan teruja untuk melihat bekas pemain Freiburg itu di Manchester.

"Pemain pertama dari Turki yang hadir dalam fikiran saya untuk beraksi bersama City adalah Soyuncu," katanya.

"Saya bersetuju dengan pendapat umum. Musim ini, Soyuncu menikmati musim cemerlang selepas Van Dijk.

"Saya tidak mengenalinya sebelum ini. Kami bertemu apabila turun beraksi. Sebagai tambahan, kami juga berdepan Leicester dalam saingan trofi.

"Kami sentiasa berbual. Kami mula mengenali antara satu sama lain. Dia seorang yang baik dan saya menyayanginya.

"Pemahaman dan perwatakannya dalam bola sepak sangat bagus. Prestasinya bersama Leicester dan skuad kebangsaan sangat hebat."