Southampton sedia berbelanja untung penjualan Van Dijk

Oleh Penulis Jemputan 29 Disember 2017 1209
 Southampton sedia berbelanja untung penjualan Van Dijk
Mauricio Pellegrino percaya perpindahan Virgil van Dijk mewakili perniagaan yang baik oleh Southampton dan dia sudah meneliti dua atau tiga calon pemain baru melalui keuntungan penjualan pemain pertahanan itu.

Bek tengah Belanda, Van Dijk, akan menyertai Liverpool dengan yuran £75 juta (RM409.7j) seperti yang dilaporkan -- rekod perpindahan termahal dunia membabitkan pemain pertahanan --  sebaik jendela perpindahan Januari dibuka. 

Perjanjian itu menimbulkan keraguan pakar bola sepak ekoran Van Dijk masih bergelut untuk mengembalikan tahap terbaiknya susulan kecederaan kaki yang dialaminya sebelum ini.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, bagaimanapun menyatakan keyakinannya bahawa ia langkah bijak oleh The Reds.

Pengurus The Saints, Pellegrino, turut yakin pasukannya akan lebih mantap apabila wang itu dilaburkan semula.

"Anda perlu menganalisis dengan cara yang positif untuk melabur semula wang ini. Kami cuba untuk menjadi lebih kuat," katanya. "Di Southampton, mustahil untuk membawa masuk pemain bernilai £80j (RM437j) atau £50j (RM273.1j).

"Tetapi, mungkin bagi kami, ini bermakna beberapa pemain yang baik akan dipancing. Mungkin kami boleh menukar seorang pemain kepada dua atau tiga pemain dengan wang ini.

"Kami bercakap mengenai beberapa sasaran yang kami ada, saya ingin membawa beberapa pemain dan kami perlu bekerja untuk ini," katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen