Arsene Wenger menyifatkan Southampton banyak membazirkan masa hingga sebelum Arsenal meraih keputusan seri 1-1 di Stadium St Mary.

Pasukan tuan rumah meledak gol awal menerusi percubaan Charlie Austin dan ketika hari Arsenal hampir disudahi dengan kekalahan, Olivier Giroud muncul penyelamat dengan menanduk masuk hantaran Alexis Sanchez pada minit ke-88.

Arsenal mengambil masa yang lama untuk mencari gol penyamaan dan Wenger menyifatkan Southampton kerap melengah-lengahkan permainan hingga mengganggu momentum permainan.

"Gembira dengan keputusan ini? Tidak kerana kami mahu melakar kemenangan.

"Pasukan lawan melengah-lengahkan permainan dan ia telah mengganggu momentum kami," katanya.

Giroud kini telah menjaringkan 17 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai pemain gantian -- menyamai bilangan gol yang telah dicetak oleh bekas wira Manchester United, Ole Gunner Solskjaer, dan Wenger berterima kasih kepada penyerang kebangsaan Perancis itu.

"Saya akan menurunkannya untuk perlawanan seterusnya kerana kami bermain setiap tiga hari.

"Dia memiliki mentaliti yang kuatt dan saya sangat bertuah memilikinya.

"Dia telah melakukan pencapaian yang sangat menakjubkan," katanya lagi.