Southampton mencipta sejarah dalam Liga Perdana Inggeris apabila menjadi pasukan pertama menewaskan kesemua tujuh juara kejohanan itu semusim selepas lawan-lawan berkenaan menjulang trofi mereka.

Skuad kendalian Ralph Hasenhuttl itu menewaskan Liverpool 1-0 di Stadium St Mary awal pagi tadi, yang merupakan kemenangan pertama mereka ke atas lawan itu dalam EPL sejak 2016, hasil jaringan Danny Ings pada minit kedua.

Southampton kini telah menewaskan Liverpool, Manchester United, Manchester City, Blackburn Rovers, Leicester City, Chelsea dan Arsenal semusim selepas pasukan-pasukan itu meraih gelaran EPL.

Berikut merupakan imbasan perjalanan rekod berkenaan.

Blackburn Rovers

Southampton menjual Alan Shearer kepada Blackburn pada 1992 dan tiga tahun kemudian, penyerang England itu membantu Rovers menjulang trofi EPL pertama. Dalam musim berikutnya, Blackburn menamatkan liga di tangga ketujuh manakala Southampton mengelakkan penyingkiran dengan perbezaan jaringan.

Mereka memperoleh tiga mata penting yang menyelamatkan mereka pada 6 April 1996 dengan jaringan penalti Matt Le Tissier pada minit ke-80 memastikan kemenangan 1-0 ke atas Blackburn di The Dell.

Manchester United

Southampton mencetuskan sensasi apabila menewaskan juara bertahan EPL, United, 6-3 pada 26 Oktober 1996 dengan Eyal Berkovic dan Egil Ostenstad, masing-masing menghasilkan jaringan berganda selain Le Tissier turut menjaringkan satu gol.

Mereka juga memperoleh kemenangan ketika United memegang status juara bertahan dalam musim 1997-98, 2000-01 dan 2003-04.

Arsenal

The Gunners merupakan juara musim 2001-02 tetapi tewas di Stadium St Mary pada bulan November dalam musim berikutnya dengan James Beattir menjaringkan dua gol manakala Kolo Toure mengesahkan kemenangan 3-2 buat Southampton.

Manchester City

Pada awal era Mauricio Pochettino, Southampton menewaskan juara bertahan, City, 3-1 di St Mary pada Februari 2013.

Kemenangan itu turut menyaksikan gol sendiri sensasi daripada Gareth Barry, yang secara tidak sengaja menolak bola ke penjuru kanan bawah gawang City. Mereka turut menewaskan City 1-0 pada Julai lalu meskipun Liverpool sudah sah bergelar juara baru pada ketika itu.

Chelsea

Southampton tersingkir ketika Chelsea memenangi gelaran EPL pertama di bawah kendalian Jose Mourinho 2005 dengan tewas kedua-dua pertemuan liga dengan skuad The Blues itu.

Namun, selepas kepulangan Mourinho ke Stamford Bridge sehingga bergelar juara musim 2014-15, Southampton menewaskan Chelsea 3-1 hasil jaringan Steven Davis, Sadio Mane dan Graziano Pele pada Oktober 2015.

Leicester City

The Foxes mencipta kejutan apabila menjuarai EPL musim 2015-16 tetapi ditewaskan 3-0 di Stadium St Mary pada Januari 2017.

James Ward-Prowse, Jay Rodriguez dan Dusan Tadic menemui sasaran buat Southampton sebagai kemenangan liga terbesar mereka sejak menewaskan Crystal Palace 4-1 dalam perlawanan terakhir musim sebelumnya.

Liverpool

Sejarah tercipta awal pagi tadi apabila Liverpool, yang menghasilkan 17 percubaan tetapi hanya satu daripadanya merupakan percubaan tepat, tewas tipis kepada Southampton.

Keputusan itu turut menyaksikan Hasenhuttl bercucuran air mata selepas tamat permainan selain skuad The Saints itu kini hanya dibezakan empat mata dengan pendahulu liga berkenaan.