Pep Guardiola memuji Southampton sebagai lawan terbaik pernah Manchester City temui di Stadium Etihad musim ini walaupun pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menang besar 5-2 awal pagi tadi.

Tiga hari selepas tewas 0-2 kepada Manchester United dalam aksi 'derby', City kembali ke landasan kemenangan dalam perlawanan penuh aksi itu.

Selepas Kavin De Bruyne membuka jaringan pada minit ke-15, James Ward-Prowse kembali menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti selepas Aymeric Laporte mengasari Jannik Vestergaard.

Aksi menarik Riyad Mahrez memanfaatkan hantaran buruk Che Adams kembali meletakkan City di depan dan Ilkay Gundogan kemudian menjaringkan golnya yang ke-14 dalam kesemua kejohanan musim ini menjelang waktu rehat.

Mahrez dan De Bruyne masing-masing menambah gol peribadi mereka di antara jaringan Adams dan Guardiola berasakan hanya kualiti individu telah menjadi pemisah dalam perlawanan itu.

"Mereka bermula dengan amat baik. Mereka adalah pasukan yang paling banyak membuatkan kami menderita tanpa bola sepanjang musim ini," kata pengurus City itu kepada Sky Sports.

"Tanpa bola, mereka merancang permainan mereka dengan amat baik.

"Selepas tiga percubaan, kami menjaringkan dua gol. Dalam babak kedua, kami jauh lebih baik. Malangnya, ketika kedudukan 4-1, kami dibolosi satu gol yang sepatutnya dielakkan tetapi secara umumnya, ia bagus untuk memperoleh satu lagi kemenangan.

"Mereka amat bagus, mereka meletakkan ramai pemain di bahagian tengah -- Vestergaard dan (Jan) Bednarek. Ward-Prowse mempunyai kualiti yang menarik ketika dia melepasi pemain kami di bahagian tengah selepas mereka meletakkan dua pemain sayap dan penyerang sedikit ke belakang. Mereka melakukannya dengan amat baik.

"Pada 10 atau 20 minit pertama, mereka merupakan lawan terbaik yang pernah kami jumpa di Stadium Etihad musim ini.

"Hari ini, kualiti yang dimiliki pemain kami membantu kami memenangi perlawanan ini. Phil (Foden), Riyad dan Kevin telah memenangi perlawanan ini," katanya.