Jose Mourinho berseloroh bahawa Toby Alderweireld telah "menyumbangkan tiga gol" selepas Tottenham memerlukan jaringan pada lewat perlawanan untuk mencatat kemenangan 3-2 dalam satu aksi menghiburkan di Aston Villa, awal pagi tadi.

Alderweireld menjaringkan gol sendiri sebelum menyamakan kedudukan di Villa Park dan dia juga diatasi Bjorn Engels di udara untuk kedudukan seimbang.

Namun, Engels sendiri melakukan kesilapan pada masa kecederaan untuk Son Heung-min, yang terlebih dahulu menjadikan kedudukan 2-1, meledak gol kemenangan walaupun sepakan penaltinya ditampan terlebih dahulu ekoran kekasaran Engels ke atas Steven Bergwijn.

"Secara berseloroh saya ingin mengatakan bahawa Toby telah menyumbat tiga gol," katanya sambil tersenyum tentang pertahanan Belgium itu yang baru menyambut kelahiran anak, Jace, Jumaat lalu.

"Jaringan pertamanya terhasil ke gawang sendiri, yang kedua pula merupakan satu gol yang hebat manakala yang ketiga adalah ketika perebutan bola di udara dengan Engels.

"Namun, jaringan sebenarnya adalah ketika sekali lagi menjadi ayah dua hari lalu. Ia sesuatu yang akan dikenang."

Pepe Reina sentiasa sibuk di depan pintu golnya tetapi Villa pasti menganggap mereka tidak sepatutnya kalah atas usaha gigih yang dipamerkan, akui pengurus Portugis itu.

"Saya fikir kami berhak untuk menang tetapi saya juga tidak fikir mereka patut kalah. Mereka beraksi dengan bagus, mereka memberi kami perlawanan bola sepak sebenar, perjuangan sebenar," tambahnya.

"Mereka bermain untuk menang, saya tidak fikir mereka beraksi untuk mendapatkan mata sahaja -- mungkin dalam tempoh 10-15 minit terakhir situasi itu berlaku. Tetapi sikap mereka adalah hebat dalam usaha memenangi permainan. Ini sesuatu yang menarik, itulah sebabnya perlawanan ini sangat menghiburkan."

Kemenangan lewat itu membantu Spurs merampas kedudukan keempat daripada Chelsea yang akan menghadapi Manchester United awal pagi esok.

Peluang untuk mengekalkan kedudukan itu tampak menyebelahi Spurs tetapi Mourinho percaya beberapa pasukan masih mahu menghidupkan peluang.

"Bukan cuma kami sahaja, banyak pasukan juga berusaha merebutnya.

"Mungkin tangga ke empat kelihatan terlalu jauh tetapi tidak bagi kedudukan kelima," katanya sebagai merujuk kepada hakikat bahawa tangga kelima sudah cukup untuk meraih tiket Liga Juara-Juara (UCL) ekoran penggantungan dua musim Manchester City oleh Persatuan Bolasepak Eropah (UEFA) meskipun juara musim lalu berhasrat untuk mengemukakan rayuan.

"Arsenal, Everton, Sheffield United, Wolves ... kesemuamya berasakan mereka mempunyai peluang."