WATFORD 2 MANCHESTER UNITED 0

Ole Gunnar Solskjaer kecewa dengan aksi Manchester United dalam babak pertama ketika tewas 0-2 kepada Watford di Vicarage Road malam tadi dengan menganggap persembahan pasukannya itu seperti sedang dalam perlawanan pertunjukan.


United turun ke perlawanan itu dengan misi untuk meneruskan tekanan kepada pasukan dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris dan bangkit daripada keputusan seri dengan Everton dalam perlawanan terdahulu.

Tetapi aksi di Vicarage Road itu memaparkan sebaliknya apabila mereka dibolosi dua gol pada awal babak kedua -- David de Gea terlepas bola daripada sepakan voli Ismaila Sarr sebelum Troy Deeney menyudahkan sepakan penalti.

Paul Pogba sekurang-kurangnya membawa dorongan baru buat skuad The Red Devils itu selepas dimasukkan pada minit ke-64 tetapi ia sudah terlewat untuk menghalang kemenangan pertama Watford yang dikendalikan Nigel Pearson.

Dan Solskjaer amat tidak berpuas hati dengan apa yang dipaparkan pasukannya dalam babak pertama.

"Dalam babak pertama, ia seakan-akan perlawanan pertunjukan saya.

"Sejujurnya, mungkin perlawanan pertunjukan saya mempunyai suasana yang lebih baik.

"Ia amat lemah, perlahan, tiada rentak, tiada kesegeraan.

"Sedikit keseronokan yang diperoleh penyokong mereka ialah apabila kami membenarkan mereka melakukan gerakan 'set-piece' dan dua gol.

"Saya amat kecewa dan (sebelum perlawanan) kami sudah berbincang mengenainya dan mahu menjadi lebih positif, kami tahu kami sedang memulakan sesuatu dengan pembinaan semula pasukan ini.

"Tetapi buat masa ini, saya amat kecewa kerana kami perlu datang ke stadium ini untuk memungut lebih banyak mata.

"Saya pasti mereka (Watford) tiada keyakinan kerana ia pasti seperti itu apabila anda berada di dasar liga.

"Kami lebih yakin kerana beraksi baik sebelum ini.

"Tetapi ia tidak seperti itu, tiada keinginan atau kesegeraan untuk melayakkan kami memenangi perlawanan ini," katanya.

Skuad kendalian Solskjaer itu seterusnya akan bertandang ke laman Newcastle United awal pagi Jumaat ini.