TRANMERE ROVERS 0 MANCHESTER UNITED 6

Ole Gunnar Solskjaer mahu penyokong Manchester United yang tidak berpuas hati dengan pemilik kelab itu supaya "kekal bersatu" selepas skuad The Red Devils bangkit daripada kekecewaan untuk menewaskan Tranmere Rovers 6-0 bagi melangkah ke pusingan kelima Piala FA lewat malam tadi.


United turun ke Prenton Park selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), masing-masing kepada Liverpool dan Burnley, dan kelab itu memaparkan kebangkitan selepas menimbulkan suasana hambar di Old Trafford gara-gara tewas kepada skuad The Clarets itu empat hari sebelumnya.

Gol daripada Harry Maguire, Diogo Dalot, Jesse Lingard, Phil Jones, Anthony Martial dan Mason Greenwood kembali menghangatkan suasana penyokong United, dengan skuad kendalian Solskjaer itu mara ke pusingan kelima dengan membelasah lawan daripada Liga Satu (divisyen tiga) berkenaan.

Solskjaer memuji pasukannya kerana dapat mengelakkan kejutan lebih besar dalam perlawanan itu.

"Jika anda masuk ke perangkap mereka dengan bermain hantaran jauh dan menjadikan perlawanan ini lebih sengit, kami tidak akan dapat melakukannya," katanya kepada BT Sport.

"Mereka lebih bersedia daripada kami.

"Kami hanya mengarahkan pemain untuk beraksi dan ia berjalan dengan baik.

"Saya fikir pemain kami telah bermain dengan cara yang sepatutnya.

"Ia persembahan yang luar biasa. Ia padang yang amat sukar untuk bermain.

"Bukan hanya penyokong Tranmere yang mahukan kejutan dalam perlawanan ini, terdapat ramai pihak lain juga.

"Kami hanya perlu terus bersatu dan berusaha.

"Setiap kemenangan amat bagus untuk meningkatkan keyakinan.

"Setiap kali anda menjaringkan gol dan beraksi baik, ia amat bagus.

"Sikap mereka dapat dilihat. Hanya itulah yang anda boleh diharapkan daripada mereka.

"Apabila sikap mereka bagus, anda tidak boleh menyalahkan mereka," katanya.

Maguire, yang menjaringkan gol pembukaan United dengan sepakan dari jarak 20 ela sebelum membantu Lingard menjaringkan gol ketiga mereka, berkata jaringan pertamanya bersama kelab itu sudah lama dinantikan.

"Ia sudah terlalu lama. Saya memperoleh banyak peluang musim ini tanpa dapat menyudahkannya.

"Amat bagus apabila dapat membantu pasukan ke pusingan seterusnya.

"Kemenangan ini amat penting, bangkit daripada aksi dan keputusan buruk ketika berdepan Burnley.

"Kami menyajikan prestasi yang positif buat penyokong.

"Kami mara ke pusingan seterusnya dan itulah sasaran kami," katanya.



Editor: Muzaffar Musa