Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, masih menunggu keputusan ujian imbasan untuk menentukan tahap kecederaan pinggul Paul Pogba selepas bintang tengah itu kelihatan terhincut-hincut ketika digantikan sewaktu pasukannya terikat 3-3 dengan Everton awal pagi tadi.

Pogba dikeluarkan enam minit sebelum waktu rehat di Old Trafford, di mana Everton menyamakan kedudukan pada minit ke-95.

United selesa berada di depan ketika Pogba mengalami kecederaan itu -- mendahului 2-0 sebelum ke bilik persalinan hasil jaringan Edinson Cavani dan Bruno Fernandes -- sebelum Everton menghasilkan dua gol dalam tempoh tiga minit babak kedua untuk mengikat kedudukan.

Scott McTominay meletakkan United kembali di depan pada 20 minit terakhir tetapi ketika skuad The Red Devils itu seakan-akan sudah memastikan pungutan tiga mata, Dominic Calvert-Lewin mengejutkan pasukan tuan rumah itu dengan gol penyamaannya dalam waktu kecederaan.

Ditanya mengenai Pogba dalam sidang media selepas perlawanan, Solskjaer berkata: "Ia seperti kecederaan otot di pinggulnya.

"Kami akan memeriksa keadaannya esok, memberikannya rawatan dan imbasan untuk melihat tahap kecederaannya.

"Kami harap ia tidak terlalu buruk. Jika dia tidak dapat melakukannya, kami tidak akan menurunkannya," katanya.