Ole Gunnar Solskjaer tidak menolak akan ada lagi pemain yang akan menyusul keluar dari Manchester United sebelum jendela perpindahan bulan ini berakhir.

Pertahanan, Timothy Fosu-Mensah, sah ke Bayer Leverkusen dengan perjanjian tetap awal minggu ini selain perjanjian pinjaman penyerang, Odion Ighalo, akan tamat hujung bulan ini.

Sejumlah pemain simpanan juga dikaitkan akan ditunjukkan jalan keluar dari Old Trafford, sementara tonggak seperti Jesse Lingard, Sergio Romero dan Marcos Rojo yang memerlukan minit permainan diberitahu boleh mula mencari destinasi baru.

Daniel James, Brandon Williams dan Dean Henderson dilaporkan mahu dipinjamkan demi perkembangan prestasi mereka.

Lantas, Solskjaer bersedia melepaskan beberapa pemain lagi dalam beberapa minggu akan datang dalam usaha mengecilkan skuadnya.

"Anda tidak boleh mengatakan tidak kerana dalam bola sepak segalanya mungkin," katanya dalam laman sesawang rasmi kelab itu.

"Ada peluang yang tidak dapat kami tolak dan jika itu adalah jalan yang terbaik buat kelab dan pemain, maka ia adalah sesuatu yang akan kami pertimbangkan.



"Buat masa ini, saya tidak dapat menawarkan maklumat kepada anda. Saya tidak mengetahui sepenuhnya mengenai sebarang rundingan hingga ia tercapai."

Produk akademi, Fosu-Mensah, meninggalkan kelab itu selepas hanya membuat 30 penampilan senior sejak kemunculan pertamanya pada Februari 2016.

"Kami mengucapkan semoga berjaya buat Tim -- saya fikir dia sudah ada di sini selama enam tahun setengah," katanya lagi.

"Dia bakat yang menarik dan memiliki karakter tetapi dia perlu beraksi dengan kerap.

"Apabila dia kerap diturunkan, saya rasa dia akan berjaya merebut tempat bersama Belanda dan kita boleh lihat betapa berkualitinya dia."

United dijangka perlahan dalam urusan pembelian pemain di sebalik pemain sayap muda, Amad Diallo -- yang ditandatangani Oktober lalu -- secara rasmi mula melaporkan diri pada minggu ini selepas perpindahannya dari Atalanta selesai.

Walaupun baru sahaja tiba di kelab, Solskjaer terbuka dengan idea untuk mengetengahkan pemain berusia 18 tahun itu dalam pertembungan EPL dengan Liverpool.

"Biarkan dia mendapat peluang. Tetapi sama ada menentang Liverpool dalam liga mahupun Piala FA, hujung minggu ini atau pun dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi. Ia akan tetap dipersoalkan," katanya kepada Dagbladet.

"Perkara seperti ini boleh berlaku. Banyak perkara berlaku dengan pantas di England. Bayangkan tiba-tiba sahaja enam pemain dalam sebuah pasukan dilanda penularan COVID-19. Jadi kita semua tidak boleh duga."