Solskjaer tidak terburu-buru letak Greenwood dalam kesebelasan utama

Oleh Staff Writer 9 November 2019 459
Solskjaer tidak terburu-buru letak Greenwood dalam kesebelasan utama
Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, akan menahan godaan untuk menjamin kedudukan Mason Greenwood dalam kesebelasan utama pasukannya meskipun pemain remaja itu terus membuktikan keupayaannya.

Greenwood menghasilkan satu gol dan satu bantuan jaringan ketika United menewaskan Partizan Belgrade dalam Liga Europa awal pagi semalam.

Penyerang berusia 18 tahun itu memaparkan kematangan dan bergandingan baik dengan Anthony Martial dan Marcus Rashford sepanjang 90 minit perlawanan.

Solskjaer mengakui kemampuan Greenwood tetapi tidak akan tunduk untuk meletakkan pemain itu dalam kesebelasan utama perlawanan Liga Perdana Inggeris.

"Saya fikir kami sedang mencari keseimbangan terbaik untuk menurunkannya, merehatkannya dan melatihnya.

"Dia perlu belajar untuk bermain seperti lelaki.

"Dia tiba daripada pasukan B-18 tahun lalu.

"Sekarang, dia berlatih dengan pasukan utama setiap hari dan anda tidak boleh terus menghidupkan dan mematikan suis.

"Anda perlu membuktikan prestasi setiap hari untuk diterima ke dalam pasukan seperti ini," katanya.

Solskjaer menambah: "DNA kelab ini, dan sentiasa menjadi falsafah kami dan falsafah saya, adalah untuk memberikan pemain muda dengan perwatakan yang menepati peluang.

"Ia memerlukan beberapa tahun untuk dia benar-benar menembusi pasukan utama dan ia pasti berbaloi.

"Saya menguruskannya untuk United dan bukannya untuk diri saya.

"Saya menguruskannya dengan cara terbaik yang saya fikir dapat mengeluarkan yang terbaik daripada Mason.

"Jika dia membuktikan penguasaannya setiap hari, dalam setiap latihan dan menjadi pilihan terbaik kami, dia akan beraksi dalam setiap perlawanan.

"Tetapi sebagai pemain muda, anda menjangkakan prestasi naik-turun dan dia mempunyai penurunan.

"Saya fikir dia sedang meningkat kembali," katanya lagi.

Martial dan Rashford turut tersenarai selaku penjaring ketika menentang Partizan yang membantu United layak ke pusingan kedua Liga Europa.

Walaupun tidak sabar untuk memperbaiki prestasi pasukannya dalam liga, Solskjaer mengakui kejohanan itu merupakan peluang terbaik untuk The Red Devils merebut kejuaraan.

"Saya tidak mahu berhenti memenangi trofi.

"Kita pernah bercakap mengenainya sebelum ini, kejuaraan Liga Perdana amat sukar untuk dicapai, kami terlalu jauh dengan pasukan dalam kelompok atasan.

"Tetapi apa jua trofi yang kami mampu untuk bersaing, kami akan mendapatkannya.

"Tetapi kami perlu memperbaiki kedudukan dalam liga, itu sudah pasti," katanya.

United berpeluang untuk melakukannya ketika menanti kunjungan Brighton and Hove Albion malam esok.

Solskjaer dijangka dapat menurunkan Harry Maguire, namun Victor Lindelof yang tidak dapat berlatih minggu ini, berkemungkinan terpaksa direhatkan kerana mengalami kecederaan kaki.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen