Pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, memberi gambaran Romelu Lukaku tidak akan beraksi sebagai penyerang utama pasukan itu sepanjang tempoh dia mengambil alih The Red Devils.

Lukaku mengalami kesukaran selaku penyerang United sepanjang musim ini.

Ia disebabkan keadaan fizikal yang menjejaskan prestasi penyerang kebangsaan Belgium itu selepas dia melakukan perkembangan otot keterlaluan sewaktu Piala Dunia di Russia, Julai lalu.

Penyerang berusia 25 tahun itu turut diberikan waktu rehat khas sewaktu perayaan Krismas bagi meningkatkan semula ketajamannya di depan gawang.

Hasilnya, Lukaku yang masuk sebagai pemain gantian dalam babak dua, menjaringkan gol terakhir ketika United membelasah Bournemouth 4-1 selepas memanfaatkan hantaran Paul Pogba.

Ia merupakan penampilan pertama Lukaku di bawah kendalian Solskjaer dan pengendali sementara itu teruja dengan prestasi yang dipamerkan penyerang tersebut.

"Dia merupakan penyerang yang baik, namun jika dia kekal di posisi itu, dia tidak akan menjaringkan gol.

"Dia diturunkan kali ini dan memaparkan aksi serangan yang baik.

"Kami perlu memastikan kecergasannya meningkat.

"Namun, saya lega dia menjaringkan gol walaupun kerap beraksi di tengah padang," katanya.

Bournemouth kehilangan penjaring tunggal mereka, Nathan Ake, ekoran kecederaan.

Bagaimanapun, pengurus pasukan, Eddie Howe, masih belum pasti keadaan sebenar pemain itu yang berkemungkinan dilanda kecederaan paha.

"Saya tidak tahu keadaan terkini Ake.

"Saya perlu berjumpa dengannya dan pasukan perubatan pasukan, namun dia kelihatan seperti mengalami kecederaan paha," katanya.