Ole Gunnar Solskjaer akan menerima sokongan daripada Manchester United dalam jendela perpindahan, janji naib pengerusi eksekutif kelab, Ed Woodward.

Solskjaer, yang tidak memancing pemain Januari lalu, memberi bayangan terhadap hasratnya untuk membuat rombakan besar di Old Trafford.

Ander Herrera dan Antonio Valencia akan berhijrah sementara kontrak Juan Mata akan berakhir dengan masa depannya di kelab itu masih kabur.

United mengakhiri kempen musim ini dengan buruk apabila gagal meraih sebarang kemenangan dalam enam perlawanan terakhir selain tumbang 0-2 kepada Cardiff City di tempat sendiri untuk menamatkan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga keenam.

United tidak layak ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan yang boleh menjejaskan peruntukan perpindahan pemain musim ini, namun penjualan Paul Pogba mampu menjana keuntungan besar.

Woodward, bagaimanapun, menjelaskan Solskjaer akan diperuntukkan dana tanpa mengira aspek penjualan pemain memandangkan kejayaan komersial berterusan yang diraih kelab itu.

"Kekuatan perniagaan kami bermakna kami mempunyai sumber kewangan untuk terus memberikan sokongan kepada pengurus dan mencipta kejayaan di padang," kata Woodward kepada para pelabur.

"Ini kekal sebagai matlamat nombor satu kami.

"Jelas sekali musim ini tidak disudahkan sebagaimana yang kami harapkan apabila menamatkan saingan di tempat keenam selain skuad ini terganggu dengan pertukaran pengurus.

"Namun, di bawah kendalian Ole, skuad ini kembali menyalakan harapan untuk layak ke UCL dengan kebangkitan pada Disember lalu tetapi akhirnya, hasrat kami tidak tercapai.

"Walaupun prestasi kami amat mengecewakan dalam beberapa minggu lalu, kami gembira dapat menjamin pelantikan Ole sebagai pengurus dengan kontrak tiga tahun sementara kami juga telah mengesahkan jurulatih pasukan utama yang diterajui Mick Phelan, Michael Carrick, Kieran McKenna dan Mark Dempsey akan kekal.

"Semua pihak di kelab ini -- ahli lembaga, pengurus, skuad dan semua kakitangan -- berkobar-kobar untuk mengembalikan United ke puncak bola sepak Inggeris. Kami sentiasa berusaha untuk meningkatkan mutu kakitangan, baik di dalam mahupun di luar padang dalam usaha mencapai hasrat itu," katanya lagi.