Solskjaer telah banyak ubah United -- Shaw

Oleh Penulis Jemputan 30 Disember 2018 2278
Solskjaer telah banyak ubah United -- Shaw
Ole Gunnar Solskjaer telah melakukan banyak perubahan sejak menggantikan Jose Mourinho sebagai pengurus Manchester United, kata pertahanan, Luke Shaw.

Bekas penyerang, Solskjaer, dinamakan sebagai pengurus sementara setelah Mourinho dipecat susulan kekalahan 3-1 di tangan Liverpool di Anfield, 17 Disember lalu.

United menikmati permulaan positif di bawah bimbingan pengurus dari Norway itu apabila menewaskan Cardiff City 5-1 sebelum menundukkan Huddersfield Town 3-1 di Old Trafford, Rabu lalu.

Shaw, yang dikritik secara terbuka oleh Mourinho beberapa kali sebelum dilihat muncul selaku antara pemain yang menyinar di awal musim ini, berasa Solskjaer telah memberikan impak besar kepada pasukannya.

"Saya rasa anda boleh lihat dari luar bahawa banyak perkara yang telah dia ubah dalam tempoh yang singkat," kata Shaw.

"Dia adalah pengurus yang positif, tahu apa yang dimahukan kelab serta peminat daripada segi corak permainan.

"Solskjaer membawa elemen menyerang, permainan pantas kembali ke Old Trafford. Saya pasti peminat akan mengharga sumbangannya, sama seperti pemain."

Shaw juga menjelaskan dia hanya mengetahui berita kepulangan Solskjaer selepas teman wanitanya menyampaikan perkhabaran itu.

"Kisah sebenar? Teman wanita saya yang beritahu," ujar bek kiri itu.

"Saya bangun di waktu pagi, mandi dan dia berlari dari bilik untuk memberitahu saya.

"Saya tidak mempunyai sebarang idea, tidak melihat telefon atau apa sahaja. Saya tahu melalui teman wanita saya."

United bakal berdepan Bournemouth awal pagi esok sebagai aksi terakhir bagi tahun 2018.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen