Ole Gunnar Solskjaer menegaskan tiada keperluan untuk melakukan "siasatan besar" selepas Manchester United tewas 1-2 kepada Sheffield United dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.

Kean Bryan dan Oliver Burke menjaringkan gol yang mengapit jaringan tunggal Harry Maguire buat skuad The Red Devils itu, sekaligus menamatkan rekod tanpa kalah mereka sepanjang 13 perlawanan liga.

Ia merupakan kali pertama Manchester United tewas kepada pasukan di tangga tercorot di Old Trafford sejak kekalahan 0-1 kepada West Brom pada April 2018, keputusan yang memberikan Manchester City kejuaraan liga.

Kekalahan kali ini juga akan memberikan kelebihan buat City, yang membelasah The Baggies 5-0 semalam untuk berpeluang melebarkan kelebihan kepada empat mata di depan seteru setempat mereka itu seandainya memenangi satu perlawanan dalam tangan milik mereka.

Skuad kendalian Solskjaer itu mempamerkan aksi bercelaru di atas padang basah dengan hanya merekodkan empat percubaan tepat daripada 76 peratus penguasaan bola milik mereka -- barisan penyerang yang dibarisi Marcus Rashford, Anthony Martial dan Mason Greenwood gagal mencipta sebarang peluang sesama mereka.

Tetapi pengurus Manchester United itu berasakan ia hanyalah hari yang buruk buat pasukannya selepas merekodkan rentetan keputusan yang baik sebelum ini.

"Kami memiliki semua penguasaan bola. Apabila anda memboloskan dua gol dengan buruk, ia sentiasa sukar," katanya kepada BT Sport.

"Kami tidak mencipta cukup peluang. Kami memberikan tekanan kepada mereka, kami tidak dapat menembusi bahagian belakang mereka, mencipta peluang yang mencukupi untuk mendapatkan gol yang mencukupi.

"Magisnya hilang, ia sedikit berlebihan. Tidak banyak ruang untuk melakukan larian, mereka bertahan dengan amat baik dan ia perlawanan yang adil buat mereka, ia layak berdasarkan prestasi mereka tetapi kami tidak mempunyai idea atau penyelesaian yang betul. Mereka tidak berada di sana.

"Ia tidak sepatutnya seperti itu, gol kedua yang kami lepaskan amat buruk. Kami terlalu mudah kehilangan bola, kembali ke posisi dan berhenti mengeluarkan bola. Tiga atau empat keputusan yang dilakukan benar-benar terkeluar daripada perwatakan kami. Ia mungkin yang terburuk musim ini.

"Tiada siasatan besar. Sudah pasti kami kecewa tetapi kita dapat lihat terlalu banyak keputusan di luar perwatakan sepanjang musim ini.

"Benar kami terkejut tetapi dunia ini memang seperti itu, kami amat tekal, pasukan paling tekal dalam beberapa bulan ini dan ia menimpa kami hari ini.

"Buang segala perasaan sedih ini dan cuba sekali lagi," katanya.