Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, menyifatkan Scott McTominay sebagai 'manusia raksasa' selepas pemain itu menjaringkan gol tunggal ketika menewaskan Watford 1-0 dalam pusingan ketiga Piala FA awal pagi tadi.

McTominay, yang dipilih sebagai kapten United di Old Trafford, menanduk masuk bola daripada sepakan penjuru Alex Telles pada minit kelima untuk memastikan kemenangan ke-34 skuad The Red Devils itu daripada 36 perlawanan pusingan ketiga.

Ia merupakan gol keempat pemain kebangsaan Scotland itu dalam kesemua kejohanan musim ini, kurang satu berbanding rekod terbaiknya dalam semusim (lima gol daripada 37 penampilan musim lalu).

"Scott sedang melalui musim yang amat baik," kata Solskjaer kepada BBC Sport.

"Dia menjadi semakin berbahaya, kami sedar betapa dia boleh menjadi pemain tengah kotak ke kotak.

"Dia sepatutnya menjaringkan lebih gol daripada bola mati sebelum ini kerana dia seperti manusia raksasa. Saya amat gembira dia dapat menjaringkan gol itu," katanya.

United, bagaimanapun, tidak menemui jalan mudah dalam menumpaskan skuad The Hornets itu, yang melakukan 18 percubaan sepanjang perlawanan itu -- rekod kedua tertinggi mereka di laman lawan musim ini.

"Perkara terpenting dalam kejohanan ini adalah anda layak dan semua orang gembira tetapi dalam 15-20 minit pertama, saya fikir adalah tempoh terbaik dalam permainan kami," tambah Solskjaer.

"Saya fikir kami memainkan beberapa aksi menarik, mencipta peluang dan kemudian kami membenarkan mereka untuk kembali bersaing tetapi kami masih layak.

"Saya gembira kami layak, saya memberitahu mereka bahawa saya tidak jangka mereka akan bermula dengan bersemangat seperti itu. Saya menjangkakan mereka akan semakin baik sepanjang perjalanan perlawanan ini. Perkara sebaliknya berlaku, lebih kurang begitu. Kami bermula dengan baik," katanya.

McTominay mengetuai United buat kali pertama dan memaparkan kepimpinan melalui teladan, melengkapkan 45 daripada 56 hantarannya, mencipta satu peluang selain mengeluarkan bola dari kawasan bahaya sebanyak tiga kali.

Pemain berusia 24 tahun itu berkata kepada BT Sport: "Apabila pengurus memberitahu saya, ia momen yang sukar dipercayai.

"Saya sudah berada di sini sejak berusia lima tahun, jadi sudah 18 atau 19 tahun bersama kelab ini, jadi ia satu penghormatan yang besar. Saya sayangkan kelab ini dan ia telah menjadi seluruh hidup saya."