Ole Gunnar Solskjaer telah memberitahu Anthony Martial dan Marcus Rashford untuk bersedia melalui proses penggiliran di bahagian serangan Manchester United musim depan.

Semalam, kedua-dua penggempur itu menghasilkan gol ketika United menundukkan Leeds United 4-0 dalam aksi persahabatan yang menjadi sebahagian daripada jelajah pramusim.

Pengendali United, Solskjaer, telah menggunakan kedua-dua pemain itu dalam rangkaian tiga penggempur bagi dua perlawanan di Australia tetapi menjelaskan dia bersedia untuk mempertaruhkan mereka di bahagian sayap dalam perlawanan akan datang.

"Bersama Rashford, dia boleh beraksi mana-mana di bahagian depan," katanya.

"Kadangkala, dia suka ke sebelah kiri, sama seperti Martial. Mereka juga boleh beraksi selaku pemain sayap atau penyerang utama, selain turut berkebolehan selaku pembantu penyerang serta di bahagian kanan.

"Bagi saya, sesuatu yang hebat untuk mempunyai penyerang yang boleh bergilir dan berkata seperti 'anda ke kanan dan saya ke kiri' atau 'dia ke tengah, saya ke tepi'.

"Saya tidak fikir kami boleh gabungkan mereka di satu posisi kerana mereka pemain bola sepak yang bagus untuk mencari ruang."

Sementara itu, Rashford menegaskan United mahu bangkit, bermula dengan permulaan musim ini selepas melalui kempen 2018-19 yang mengecewakan sehingga memaksa mereka menamatkan saingan di luar daripada kelompok empat teratas.

"Sebagai sebuah pasukan, semua orang cergas dan sihat. Kami mahu mencapai prestasi terbaik di permulaan musim."