Ole Gunnar Solskjaer mengesahkan Alexis Sanchez akan menyertai Inter secara tetap tetapi masih lagi tidak tertarik dengan usaha Manchester United mendapatkan khidmat Jadon Sancho.

Ketua eksekutif Inter, Giuseppe Marotta, berkata semalam dia menjangkakan akan mengumumkan menandatangani Sanchez, yang dipinjamkan di San Siro musim ini, dengan kontrak selama tiga tahun.

Bercakap selepas United menang 2-1 ke atas LASK dalam aksi kedua pusingan 16 Liga Europa (UEL), Solskjaer mengucapkan semoga berjaya buat Sanchez di Itali, di mana dia mendapatkan semula rentak terbaik selepas gagal cemerlang di Old Trafford.

"Saya boleh mengesahkan bahawa dia telah bersetuju dan kami juga bersetuju," kata Solskjaer. "Alexis telah menikmati masa di sana.

"Mereka menggemarinya jadi ia adalah langkah terbaik buat dirinya. Kami mengucapkan semoga berjaya buat Alexis."

Dengan Sanchez berhijrah, jersi nombor tujuh dikosongkan di United ketika mereka sedang berusaha untuk mendapatkan khidmat Jadon Sancho dari Borussia Dortmund.

Bintang England itu berkata mahu berhijrah ke Liga Perdana Inggeris (EPL), tetapi Dortmund meletakkan tanda harga yang tinggi, selepas dilaporkan sekurang-kurangnya EURO110 juta.

Solskjaer bagaimanapun menegaskan masih tiada lagi perkembangan mengenai pemain tersebut buat masa ini.

"Kami melihat kesemua perpindahan pemain dengan berbeza. Saya tidak akan bercakap mengenai individu yang tidak bergelar sebagai pemain United. Jadi tiada berita, tiada perkembangan baru.

"Kami akan memberitahu anda jika sesuatu telah berlaku."