Mason Greenwood kini meraih lapan jaringan susulan dua gol dihasilkan dalam aksi terbaru dan Ole Gunnar Solskjaer meramalkan pemain muda Manchester United itu akan dipanggil memperkuatkan skuad kebangsaan England di masa akan datang.

Pemain berusia 18 tahun itu meledakkan sentuhan pemusnah dalam setiap babak tatkala United membelasah Bournemouth 5-2 untuk terus mencabar kelompok empat teratas liga.

Hanya Michael Owen, Wayne Rooney dan Robbie Fowler telah mencatat lebih banyak gol dalam Liga Perdana Inggeris ketika berusia 18 tahun atau lebih muda dan ketiga-tiga pemain itu kemudian dipanggil membarisi skuad The Three Lions.

Pemain kelahiran Bradfor, Greenwood, telah memperkuatkan skuad kebangsaan di peringkat belia selepas menyarung jersi pasukan B-21 pada September lalu dan Solskjaer percaya dia di landasan terbaik untuk membarisi kem bimbingan Gareth Southgate.

Ditanya adakah dia penyerang masa depan England, Solskjaer berkata: "Semestinya, jika dia terus berkembang.

"Kami akan lakukan yang terbaik untuk meningkatkannya. Saya cuma risaukan aksinya bersama United, bukan England.

"Mungkin ada campuran darah Norway, saya tidak tahu. Saya tidak fikir begitu."

Solskjaer menambah: "Greenwood adalah pemain berbakat, memiliki penyudah yang hebat dan dia sentiasa belajar untuk membuat keputusan terbaik di dalam dan luar padang.

"Dia merupakan pemusnah lawan, mampu menjaringkan gol dengan kaki kiri dan kanan. Jika dia mempelajari cara menanduk bola, dia akan menjadi penyerang sempurna."