Keinginan Manchester United untuk bertahan sebagai satu unit menjadi kunci kepada kejayaan mereka sejak kebelakangan ini, kata pengurus pasukan itu, Ole Gunnar Solskjaer.

Skuad The Red Devils itu memaparkan prestasi hebat sejak bola sepak Inggeris bersambung selepas direhatkan selama tiga bulan berikutan pandemik Covid-19, di mana United merekodkan tujuh mata daripada tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris selain menewaskan Norwich City dalam separuh akhir Piala FA.

Mereka meraih kemenangan terbaru di Stadium Amex awal pagi tadi apabila menewaskan Brighton and Hove Albion 3-0 menerusi gol Mason Greenwood dan dua jaringan Bruno Fernandes untuk melonjak ke tangga kelima dengan ketinggalan dua mata di belakang pasukan di tangga keempat, Chelsea.

Keputusan itu bermakna mereka hanya dibolosi dua gol dalam lapan perlawanan terakhir Liga Perdana dan Solskjaer menegaskan bahawa kejayaan itu dicapai dengan kerjasama sepasukan dan bukan hanya barisan pertahanan pasukannya.

"Anda dapat lihat dengan kualiti dan bakat yang kami ada untuk menuju ke depan, kami mempunyai satu asas untuk bermain," katanya dalam sidang media.

"Kami mempunyai keutuhan, melakukan tekanan dengan baik dan mempunyai empat pertahanan yang sudah biasa bersama.

"Terdapat banyak sebab kami tidak dibolosi, di mana ia adalah asas untuk mana-mana pasukan yang baik.

"Kami sedar kami mempunyai 11 pemain untuk menyerang dan bertahan -- kami bertahan dari atas.

"Kami sedar betapa sukarnya untuk berdepan Brighton dan tidak berhenti untuk mencipta rentak.

"Kami memiliki satu lapisan perlindungan di depan empat pertahanan kami yang amat sukar untuk ditembusi.

"Kami amat berpuas hati dengan keutuhan dan keamatan kami," katanya.

Solskjaer gembira dengan prestasi United sejak liga itu kembali bersambung tetapi tidak mahu terbawa-bawa dengan kejayaan itu memandangkan mereka ketinggalan 34 mata di belakang pasukan juara, Liverpool.

"Ia amat baik selepas liga bersambung.

"Kami bersetuju tentang apa yang kami mahu lakukan dan kembali dengan lebih cergas dan kuat dan bersedia untuk mencabar.

"Kami masih mempunyai banyak perlawanan selepas ini akan terus melakukan perubahan, pemain menjadi lebih baik dan semakin tajam dan kami mempunyai pemain yang memiliki musim yang hebat dan masih belum diturunkan.

"Kami terlalu jauh daripada landasan untuk meraih sesuatu yang istimewa (musim ini) tetapi pasukan ini sedang bertambah baik.

"Kami masih bersaing dalam Piala FA, Liga Europa dan perebutan tempat ke Liga Juara-Juara Eropah," tambahnya.