Solskjaer puji aksi hebat Maguire

Oleh Muzaffar Musa 28 Jun 2020 224
Solskjaer puji aksi hebat Maguire
Ole Gunnar Solskjaer memuji sumbangan hebat yang diberikan Harry Maguire kepada Manchester United selepas pemain pertahanan itu menjaringkan gol kemenangan ke atas Norwich City awal pagi tadi.

Maguire menyumbat masuk jaringan daripada jarak dekat pada minit ke-118 untuk United merekodkan kemenangan 2-1 di Carrow Road dan melangkah ke separuh akhir Piala FA.

Pemain itu, yang didatangkan dengan tanda harga £80 juta (RM423.6 juta) daripada Leicester City tahun lalu, membantu United meneruskan rekod 14 perlawanan tanpa kalah dalam kesemua kejohanan dan Solskjaer tidak keberatan untuk memuji ketua pasukannya itu.

"Harry amat luar biasa sejak dia tiba ke pasukan ini," kata pengurus United itu dalam sidang media.

"Sikap kepimpinannya amat jelas kelihatan, dia membantu kami membina permainan dan saya fikir dia telah memenangi setiap tandukan dan setiap cabaran, jadi saya amat gembira dengan Harry," katanya.
 
Selepas Todd Cantwell memadamkan jaringan pembukaan Odion Ighalo, Norwich kekurangan seorang pemain selepas Timm Klose dibuang padang pada minit ke-89.

United menggunakan Paul Pogba, Anthony Martial, Marcus Rashford dan Mason Greenwood daripada bangku pemain simpanan dan Solskjaer gembira dengan sumbangan pemain simpanannya, termasuk Brandon Williams dan Nemanja Matic, yang turut terlibat dalam perlawanan itu.

"Anthony masuk dan melakukannya dengan baik. Saya fikir dia telah memberikan sedikit kelainan dalam perlawanan ini.

"Apabila anda menentang 10 pemain, kita bercakap mengenainya selepas waktu penuh di mana kami ada 30 minit lagi dan tidak perlu panik.

"Kami hanya perlu terus memberikan dorongan dan peluang itu akan tiba dan kami perlu mengambilnya.

"Kesemua pemain gantian telah memainkan peranan mereka," tambahnya.

United, yang menduduki tangga keenam Liga Perdana Inggeris, akan berkunjung ke laman Brighton and Hove Albion, Selasa ini.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen