Pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, percaya Paul Pogba akan kekal di Manchester United walaupun dikaitkan dengan perpindahan ke Juventus dan Real Madrid.

Pogba berkata masa depannya masih menjadi persoalan meskipun membantu United membelasah Chelsea 4-0 dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris, minggu lalu.

Tatkala jendela perpindahan di England telah ditutup, LaLiga dan Serie A masih menjalankan segala urusan perpindahan sehingga 2 September ini, sekali gus menjadikan perpindahan ke Madrid atau Itali masih boleh dilengkapkan.

Bagaimanapun, Solskjaer tidak menghiraukan tentang isu tersebut menjelang kunjungan ke Wolverhampton Wanderers awal pagi esok.

"Anda (media) sentiasa mencetuskan persoalan tentang Pogba," katanya.

"Saya tidak fikir ia menjadi satu keperluan untuk berkata seorang pemain itu menikmati permainan, berseronok bersama rakan sepasukan, suka apa yang dilakukan, sayangkan kerja saya dan sebagainya.

"Sudah tentu ia menjadi persoalan tentangnya tetapi sentiasa ada tanda tanya mengenai Pogba.

"Tiada satu pun sidang media yang saya tidak jawab tentang Pogba dan 80 peratus daripada apa yang dia katakan adalah dia menikmati perlawanan dan waktu di sini.

"Saya tidak fikirkan tentang Pogba. Jadi, bagi saya dia akan kekal."

Sementara itu, pengendali dari Norway itu mengakui dia memiliki terlalu ramai bek tengah ketika ini selepas kehadiran pertahanan termahal dunia, Harry Maguire, daripada Leicester City.

Tatkala Maguire kini berada di Theatre of Dreams, Solskjaer kini mempunyai pilihan seperti Lindelof, Axel Tuanzebe, Chris Smalling, Phil Jones, Marcos Rojo dan pemain yang sedang pulih daripada kecederaan lutut, Eric Bailly.

Rojo dikaitkan dengan pinjaman ke Everton tetapi perpindahan itu tidak dapat dilengkapkan.

"Memang saya memiliki terlalu ramai bek tengah untuk membuatkan semua gembira," tambah Solskjaer.

"Namun, kami perlu memenangi perlawanan, beraksi dengan baik, jadi kami akan memilih pemain yang memberikan kami peluang tinggi untuk meraih kemenangan."

"Semua yang ada adalah bek tengah berkualiti dan saya tahu akan memerlukan sebahagian daripada mereka. Sudah tentu kecederaan Bailly menyebabkan kini saya mempunyai enam bek tengah yang cergas dan mungkin ia jumlah yang terlalu ramai.

"Bagaimanapun, ia tugas kami, menjalankan kerja yang dihadapi sekarang dan memastikan ia berlaku dalam sesi latihan setiap hari.

"Apabila meraih peluang -- dan itu pasti kerana kami berdepan banyak perlawanan -- mereka perlu beraksi dengan baik apabila diberi kesempatan.

"Rojo, Jones, Smalling dan nama lain sudah berada lama di sini serta membuktikan mampu menggalas tugas itu."