Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, harus "mementingkan diri sendiri" dan mendesak untuk menandatangani pemain berpengalaman dalam jendela perpindahan Januari depan, kata pemain legenda kelab itu, Gary Neville.

The Red Devils menduduki tangga kesembilan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas seri 3-3 dalam perlawanan mendebarkan di Sheffield United dan kini tercicir sembilan mata dengan empat pasukan teratas.

Solskjaer hanya menang empat kali dalam 13 perlawanan liga musim ini dan ia membuktikan mengenai faktor kekurangan pengalaman pasukannya dalam aksi di Bramall Lane itu.

Pengurus kelahiran Norway tersebut telah menaruh kepercayaan kepada beberapa pemain muda sepanjang 11 bulan bertugas, namun Neville menggesa bekas rakan sepasukannya itu agar merekrut lebih ramai pemain berpengalaman sekiranya dia ingin menyelamatkan jawatannya.

"Ole Gunnar Solskjaer perlu mendesak dan membelanjakan wang kelab itu pada Januari kelak demi kebaikannya sendiri," kata Neville dalam rancangan Sky Sports, Monday Night Football.

"Dia perlu membuat desakan dan membelanjakan wang kelab itu untuk mendapatkan dua atau tiga pemain berpengalaman, dia perlu membuat tuntutan.

"Dia tidak akan (sempat) melihat usaha yang dicurahkannya itu membuahkan hasil atas asas yang telah diletakkannya kerana ada ramai pemain muda yang bagus di atas padang, itulah yang saya suka saksikan."

Neville, yang memenangi lapan gelaran EPL dalam kerjayanya, menambah: "Ole harus mementingkan diri sendiri, dia perlu bertindak kejam seperti (Jose) Mourinho atau (Antonio) Conte dan menghabiskan wang kelab itu bagi melindungi dirinya.

"Letakkan dua atau tiga tonggak berpengalaman dalam kalangan kumpulan pemain itu dan mereka akan menyerlah."

Manchester United bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mendahului 3-2 semalam, namun Oli McBurnie menjaringkan gol penyamaan buat tuan rumah, justeru ia membuktikan hujah Neville mengenai kekurangan pemimpin dalam pasukan itu.

"Saya merumuskan dua perkara. Satu, mereka tidak mempunyai pemain senior yang menetapkan penanda aras buat mereka, membuatkan mereka sedar apakah jangkaan yang diperlukan dalam pasukan bola sepak.

"Mereka tiada pemimpin dan orangg (sepatutnya) di sekeliling mereka. Ketika kali pertama saya tersenarai dalam pasukan, saya mempunyai orang yang telah meletakkan penanda arasnya.

"Ada satu lagi perkara lagi yang lebih mustahak-- mereka tidak tahu bagaimana untuk mendekati permainan EPL, mereka tidak faham bahawa adalah bermain berbeza di Old Trafford dan di gelanggang lawan dan mereka tidak memiliki pengalaman atau kematangan."

Mauricio Pochettino dipecat oleh Tottenham minggu lalu dan hangat dikaitkan sebagai pengganti kepada Solskjaer tetapi Neville tidak pasti sama ada ini adalah masanya untuk membuat perubahan.

"Secara peribadi, dua setengah tahun yang lalu ketika Louis van Gaal dipecat oleh Manchester United, saya berkata Mauricio Pochettino sepatutnya diambil sebelum pelantikan Jose Mourinho, jadi sekarang saya tidak boleh mengatakan bahawa dia bukan orang yang tepat buat kelab ini.

"Bagaimanapun, Ole Gunnar Solskjaer telah dilantik sejak lapan bulan yang lalu, kelab itu telah mengambil jalan yang berbeza."