Solskjaer nampak masa depan cerah Chong

Oleh Staff Writer 10 Mac 2020 1205
Solskjaer nampak masa depan cerah Chong
Ole Gunnar Solskjaer percaya Tahith Chong mempunyai masa depan yang cerah di Manchester United selepas pemain sayap itu menandatangani kontrak baru selama dua tahun.

Terdahulu, kontrak Chong akan tamat pada penghujung musim ini dengan Barcelona dan Juventus dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Namun, selepas ejennya mengumumkan bahawa dia akan melanjutkan kontraknya bersama United, kelab itu kemudian mendedahkan bahawa Chong akan kekal bersama mereka sehingga 2022 dengan pilihan untuk melanjutkan kontraknya selama setahun lagi.

Solskjaer, yang memberikan pemain itu penampilan pertama pada Januari lalu, gembira pasukannya dapat mengekalkan bakat muda berusia 20 tahun itu.

"Tahith berusaha dengan amat gigih setiap hari dan dia meningkat dengan tekal," kata pengurus itu.

"Prestasinya musim ini, sama ada dengan skuad senior atau skuad B-23, telah membuktikan usaha, dedikasi dan perwatakannya.

"Kami gembira dengan perkembangannya sejak dia menyertai kami daripada akademi dan bersedia untuk meneruskan perkembangan bakatnya.

"Tahith mempunyai potensi yang besar.

"Dengan usia, kemampuan dan etika kerjanya, kami dapat melihat yang dia mempunyai masa depan cerah di United," katanya.
 
Chong -- yang tiba di United daripada Akademi Feyenoord pada 2016 -- juga bersedia untuk terus bekerjasama dengan Solskjaer, yang telah menurunkannya sebanyak 10 kali musim ini.

"Apabila saya menyertai Manchester United sebagai pemain muda, ia adalah impian menjadi kenyataan.

"Ia merupakan satu penghormatan setiap kali saya menyarung jersi dan mewakili kelab ini.

"Saya berusaha keras setiap hari untuk meningkat dan saya tahu ia adalah persekitaran yang sempurna untuk memperkembangkan permainan saya.

"Peluang untuk belajar daripada pengurus, barisan kejurulatihannya dan pemain bertaraf dunia di sini amat luar biasa.

"Saya gembira untuk menandatangani kontrak baru ini dan amat bersyukur dengan peluang yang diberikan untuk membuktikan diri saya di sini pada tahun-tahun akan datang," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen