Ole Gunnar Solskjaer menyamakan kehadiran Mason Greenwood dalam skuad Manchester United dengan legenda kelab itu, Ryan Giggs, selepas penyerang muda berkenaan mencuri tumpuan ketika menewaskan Inter Milan di Stadium Nasional Singapura, malam tadi.

Greenwood menjaringkan gol keduanya dalam aksi pra-musim apabila menghasilkan gol gemilang pada minit ke-76 untuk memastikan kemenangan 1-0 The Red Devils ke atas Inter dalam Piala Juara-Juara Antarabangsa di Singapura.

Palang gol kemudian menjadi penghalang untuk pemain gantian itu menghasilkan gol berganda walaupun dia hanya dimasukkan dalam babak kedua.

Solskjaer sudah mula berkira-kira untuk membawa masuk pemain berusia 17 tahun itu ke dalam pasukan utamanya, sama seperti yang dilakukan Alex Ferguson ketika memperkenalkan Giggs pada 1991.

"Mason tidak pernah berada dalam senarai saya untuk dipinjamkan kepada pasukan lain.

"Dia pemain yang kami perlu kekalkan bersama kami, membenarkan dia beraksi apabila kami fikirkan ia baik untuknya dan pada ketika itu, dia akan beraksi baik.

"Dia mengingatkan saya tentang kisah Giggsy.

"Anda tidak boleh meminjamkannya kepada pasukan lain.

"Bagi saya, dia sudah bersedia untuk berada dalam pasukan ini.

"Dia sudah bersama kami sejak beberapan bulan lalu dan sudah meningkat daripada segi keyakinan, peningkatan yang kukuh.

"Namun, kami perlu berpijak di bumi nyata kerana kami sedar dia baru berusia 17 tahun dan akan ada turun-naik prestasi.

"Buat masa ini, dia sedang menikmati permainannya," katanya.

United beraksi baik menewaskan lawan daripada Serie A itu, namun bukan semua berita baik yang diterima apabila Victor Lindelof kelihatan mengalami masalah otot pada awal babak kedua.

Tahith Chong turut berdepan situasi sama pada penghujung perlawanan selepas menghadapi terjahan keras pihak lawan.

"Kami masih belum tahu. Saya fikir mereka akan baik-baik sahaja," katanya kepada MUTV mengenai keadaan dua pemain itu.

"Kami perlu memeriksa keadaan Lindelof esok."