Pemangku pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, memberi amaran kepada barisan pemainnya sebelum mereka menewaskan Cardiff City 5-1 malam tadi.

Kemenangan itu hadir menerusi dua gol Jesse Lingard dan satu daripada Marcus Rashford, Ander Herrera dan Anthony Martial.

Ia merupakan kali pertama pasukan itu menjaringkan lima gol dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris sejak Alex Ferguson mengumumkan persaraan pada 2013.

Kemenangan itu turut dilihat sebagai permulaan sempurna buat Solskjaer selepas bekas pengurus, Jose Mourinho, dipecat Selasa lalu.

Bagi bekas penyerang United itu, apa yang dilakukan pasukannya ketika menewaskan Cardiff merupakan syarat minimum yang diletakkan kepada pemainnya walaupun mereka melengkapkan larian sejauh 104 kilometer sepanjang perlawanan tersebut.

"Perkara utama yang saya katakan kepada mereka adalah Manchester United tidak sepatutnya diatasi lawan.

"Tidak kira pasukan mana yang mereka wakili, mereka perlu berlari lebih banyak berbanding pihak lawan.

"Selepas itu, kemahiran mereka akan membantu pasukan meraih kemenangan.

"Mereka hanya perlu bergembira, menghantar bola dan berlari ke depan.

"Saya tidak kisah jika mereka kehilangan bola asalkan mereka berusaha untuk memenanginya kembali.

"Barisan pemain saya berjaya melakukan perkara itu hari ini.

"Dengan pemain yang berkualiti seperti itu, peluang akan sentiasa tiba.

"Mereka menunjukkan sikap yang positif dan hebat.

"Ia tiba ketika mereka menghadapi minggu yang sukar dan saya amat tertarik dengan fokus yang diberikan dalam perlawanan itu," katanya.