Solskjaer: Manchester United mahu kekalkan Van de Beek

Oleh Muzaffar Musa 9 Januari 2021 2989
Solskjaer: Manchester United mahu kekalkan Van de Beek
Ole Gunnar Solskjaer telah mengutarakan keinginannya untuk mengekalkan Donny Van de Beek di Manchester United biarpun pemain tengah itu bergelut dalam fasa awal di Old Trafford.

Sejak tiba daripada Ajax dengan perpindahan yang dilaporkan bernilai £40 juta (RM218.8 juta) menjelang musim ini, pemain kebangsaan Belanda itu hanya memulakan enam perlawanan dan hanya dua daripadanya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kekurangan minit permainan pemain itu memacu ketua jurulatih Belanda, Frank de Boer, untuk menyarankan agar pemain tengah itu berpindah bulan ini bagi menguatkan peluangnya mewakili negara itu dalam Kejohanan Eropah.

Bagaimanapun, Solskjaer mengulangi mengenai kepercayaannya terhadap pemain berusia 23 tahun itu dan mendedahkan bahawa dia akan memberikan Van de Beek peluang untuk memulakan perlawanan menentang Watford dalam Piala FA awal pagi esok.

"Saya sudah menjawab soalan ini berkali-kali," kata pengurus berbangsa Norway itu.

"Terdapat banyak contoh mengenai pemain yang memerlukan sedikit masa -- kualiti seorang pemain. Kami mempunyai ramai pemain seperti itu dan kelab lain juga mempunyai contoh seperti itu.

"Adakalanya ia memerlukan masa. Anda tidak boleh menganggap orang yang mengambil berat terhadapnya akan sentiasa diam, terutama apabila mereka mahukan yang terbaik daripadanya.

"Donny akan bermain esok. Ia satu lagi peluang buatnya. Benar, saya sudah berbincang dengannya dan mengulanginya dan membuatkan dia sedar bagaimana kami menilainya.

"Tetapi dia akan bermain esok dan ia merupakan peluang terbaik untuk memulakan langkah," katanya.
 
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen