Skuad Manchester United tidak menyentuh soal mencabar gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) walaupun mempamerkan peningkatan dramatik, menurut Ole Gunnar Solskjaer.

Kemenangan ke atas Sheffield United dan Leeds United melonjakkan The Red Devils kepada lima mata di belakang pendahulu Liverpool dengan baki satu perlawanan di tangan.

Bekas kapten United, Gary Neville, antara yang terkejut melihat United berada dalam pemburuan gelaran padahal membuat permulaan buruk dalam kempen ini.

Kemenangan 2-0 di Everton dalam Piala Liga Inggeris (EFL), semalam, turut meletakkan anak buah Solskjaer dalam separuh akhir untuk menempah pertemuan dengan seteru kota, Manchester City.

Mereka akan berdepan Leicester City esok, namun Solskjaer mengakui peluang mereka merebut gelaran mula menjadi bualan ramai.

Begitupun, dia menegaskan bahawa ia bukan topik perbincangan di bilik persalinan dan pujian terhadap pemainnya akhir-akhir ini merupakan pengalaman yang berbeza.

Ditanya mengenai peluang mencabar EPL, dia berkata: "Sudah mula ada cakap-cakap di sekitar Man United, jadi bagi kami ini adalah satu peningkatan sebagai sebuah pasukan dan kami harus menghadapi satu persatu perlawanan -- itulah nama perlawanan.

"Itulah satu-satu caranya untuk kami mencapai apa jua hasilnya pada akhir musim ini, oleh itu soal mencabar kejuaraan bukan sesuatu yang kami bincangkan.

"Satu-satunya perkara yang kami bincangkan dan utamakan adalah peningkatan hari demi hari dan belajar bagaimana menangani situasi tertentu.

"Mungkin sekarang ini kami dihujani pujian dan ia satu lagi perkara yang perlu kami atasi.

"Mulai sekarang setiap perlawanan akan diambil kira, kami perlu berfikir seperti itu."



United telah memenangi empat pertemuan berturut-turut menentang Leicester, dengan kemenangan terakhir -- kejayaan 2-0 pada Julai lalu-- termasuk memintas lawan untuk mengesahkan tempat dalam kelompok empat teratas musim lalu.

Di samping itu, empat daripada lima kekalahan tuan rumah pada musim ini berlaku di kandang sendiri tatkala mereka mengintai kemenangan ke-11 berturut-turut.

Tidak hairanlah mengapa Solskjaer amat mengagumi sentuhan Brendan Rodgers untuk menyaksikan The Foxes menguasai di tangga kedua.

Pengurus United itu berkata: "Kami pernah memperagakan beberapa persembahan menarik bertemu Leicester, perlawanan yang sangat sengit.

"Mereka adalah pasukan yang sangat mantap dengan jurulatih yang sangat bagus. Saya sangat senang menyaksikan mereka di bawah kendalian Brendan.

"Kami menghadapi ujian besar ketika bertandang ke stadium mereka untuk perlawanan liga terakhir musim lalu pada musim panas. Kami melewati perlawanan itu dengan hebat. Kami benar-benar menguasai permainan.

"Saya tahu ia tidak akan sama lagi kerana ini adalah musim berbeza. Mereka mempunyai beberapa ancaman yang harus kami kekang. Kami perlu duduk dan memikirkan siapakah yang cergas dan pemain yang tidak sesuai."

Rodgers pula berharap penyerang handalan, Jamie Vardy, sempat cergas selepas dikeluarkan ketika menundukkan Tottenham minggu lalu.

Dengan menghasilkan 11 gol dan empat bantuan gol musim ini, Vardy mengekori sumbangan Harry Kane (19) dan Mohamed Salah (16).