Solskjaer mahu pemain United kembali nikmati bola sepak

Oleh Penulis Jemputan 21 Disember 2018 1005
Solskjaer mahu pemain United kembali nikmati bola sepak
Pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, berkata misi utamanya kini adalah untuk memastikan setiap pemainnya kembali menikmati perlawanan bola sepak selepas bekas pengurus pasukan itu, Jose Mourinho, dipecat Selasa lalu.

Solksjaer, 45, dilantik selaku pengurus sementara United sehari selepas Mourinho dipecat.

Bekas penyerang The Red Devils itu akan mengemudi skuad utama United sehingga penghujung musim ini.

United kini di kedudukan keenam liga dan Solskjaer berkata kepada MUTV, dia mahu barisan pemainnya menonjolkan diri sepanjang baki musim ini.

"Kami akan memastikan barisan pemain menikmati bola sepak dan kembali mendapat sokongan peminat," katanya.

Mourinho dipecat akibat tiada peningkatan yang mampu dibawa bekas pengurus itu walaupun menghabiskan £400 juta (RM2.1 bilion) bagi mendatangkan 11 pemain dalam tempoh satu setengah tahun perkhidmatannya.

United akan melantik pengurus tetap baru selepas tamat musim ini.

Solksjaer pernah beraksi selama 11 musim di Old Trafford (1996-2007) dan menjaringkan gol kemenangan ketika United memenangi aksi final Liga Juara-Juara Eropah pada 1999.

Dia berjanji akan memberikan yang terbaik buat pasukan itu dan mahu barisan pemainnya kembali menikmati setiap perlawanan.

"Kami perlu kembali meraih kemenangan dan memberikan cabaran dalam perebutan piala.

"Apa yang sudah terjadi, biarkan terjadi, kami akan bermula dengan permulaan baru," tambahnya.

Ujian pertama Solskjaer selaku pengurus United adalah berkunjung ke laman Cardiff City bagi saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi Isnin ini.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen