Ole Gunnar Solskjaer berharap David De Gea dan Anthony Martial akan menandatangani kontrak baru bersama Manchester United dan menjadi sebahagian daripada sejarah kelab Liga Perdana Inggeris itu.

United dilaporkan telah mengaktifkan tambahan setahan dalam kontrak Martial, 23, dan De Gea, 28, untuk mengekalkan kedua-duanya di Old Trafford sehingga 2020.

Solskjaer, yang kini menguruskan United buat sementara sehingga akhir musim, mahu meyakinkan kedua-dua pemain itu agar kekal bersama United sambil memberitahu mereka berada di tempat terbaik.

"Saya tahu pihak kelab mahu mereka menandatangani kontrak baru kerana kedua-duanya adalah pemain berkualiti," kata Solskjaer.

"Ia bergantung kepada pemain tetapi apabila anda berada di United, tiada tempat lain yang lebih baik. Anda berada di tempat yang terbaik. Ia adalah kelab terbesar di dunia.

"Bagi saya, saya harap dapat membantu pemain ini dan meyakinkan mereka untuk kekal bersama kelab.

"Jika anda pemain utama Manchester United, saya rasa anda patut rasa bangga untuk kekal di sini dan menjadi sebahagian daripada sejarah."

Sewaktu bergelar pemain, Solskjaer bersama United selama 11 tahun walaupun sukar untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

Tatkala De Gea dan Martial berada dalam situasi berbeza, bekas bintang The Red Devils itu menerangkan rasa cintanya buat United serta kedegilan untuk kekal bersama kelab itu.

"Saya menerima banyak tawaran untuk berpindah tetapi Sir Alex Ferguson duduk berbincang dengan saya, memberitahu saya akan menjadi tonggak penting dalam pasukan dan bakal diberikan cukup peluang untuk beraksi," tambah Solskjaer.

"Saya rasa berbesar hati beraksi di sini. Saya juga degil. Kelab pernah bersetuju untuk menjual saya kepada Tottenham Hotspur tetapi saya menolak. Ejen saya mahu perpindahan itu dilengkapkan tetapi saya tahu di mana tempat terbaik.

"Saya tidak pasti jika ada tempat lebih baik berbanding di sini. Saya pernah melalui tempoh tidak beraksi dan berasa marah. Kemudian, mereka meletakkan saya di dalam skuad dan saya rasa menjadi sebahagian yang penting daripadanya."

United meraih dua kemenangan berturut-turut di bawah bimbingan Solskjaer dan bakal merapatkan jurang kepada tiga mata dengan pasukan tangga kelima, Arsenal, sekiranya menundukkan Bournemouth, awal pagi esok.