Harry Maguire sedang dalam pertimbangan untuk diturunkan ketika Manchester United menentang Norwich City malam ini walaupun dia dilaporkan sedang menanggung kecederaan pinggul.

Pertahanan termahal dunia itu terlepas perlawanan separuh akhir pertama Piala EFL di mana pasukannya tewas 1-3 kepada Manchester City.

Dia kemudian dikhabarkan terpaksa berehat lebih panjang kerana kecederaan otot pinggul, yang menambahkan masalah kecederaan United di bahagian pertahanan.

Tetapi pengurus, Ole Gunnar Solskjaer, menangkis kegusaran itu dengan mendedahkan bahawa pertahanan tengah kebangsaan England itu mungkin memulakan perlawanan menentang Norwich dalam Liga Perdana Inggeris di Old Trafford.

"Dia akan memperoleh peluang esok (malam ini)," kata Solskjaer dalam sidang media sebelum perlawanan.

"Ia hanya kecederaan ringan.

"Saya tidak tahu dari mana datangnya laporan itu, anda mungkin keliru di antara dia dan Harry Kane.

"Tidak, dia memiliki peluang, kami akan menjalani latihan dan melihat reaksinya.

"Ia tidak mengejutkan (Maguire sedia untuk diturunkan).

"Dia seorang pahlawan dan jika terdapat sebarang kecederaan ringan, dia tetap akan bersedia untuk bermain.

"Itulah yang dilakukannya ketika menentang Wolves.

"Dalam waktu rehat, dia berasa tidak selesa tetapi menegaskan dia tidak apa-apa.

"Dia hampir bermain ketika menentang City, cuma dia tidak cukup cergas.

"Tetapi dia mempunyai peluang itu kali ini," katanya.



Editor: Muzaffar Musa