Ole Gunnar Solskjaer tidak gusar dengan komitmen Paul Pogba selepas gambar pemain tengah Manchester United itu berborak dengan pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane, tersebar luas.

Pogba, yang berada di Dubai sebagai sebahagian daripada proses pemulihannya daripada masalah pergelangan kaki, difoto bertemu dengan Zidane yang kebetulan menghadiri satu sidang di sana.

Gambar itu terus meningkatkan lagi khabar angin bahawa Zidane akan berusaha memancing lagi pemain itu pada Januari tahun depan selepas kegagalan tonggak Perancis itu untuk meninggalkan Old Trafford dalam jendela perpindahan sebelum ini.

Bagaimanapun, pengurus United berkenaan tiada masalah dengan pertemuan itu dan berkeyakinan penuh bahawa Pogba mahu kekal.

"Saya tidak pernah mendengar Paul mengatakan bahawa dia enggan berada di sini," katanya dalam sidang akhbar.

"Paul merupakan sebahagian daripada perancangan pada masa depan dan dia tahu mengenainya kerana kami telah mengulanginya banyak lali.

"Dia telah beraksi sambil menanggung kesakitan. Dia dikritik dari segenap penjuru tetapi dia kembali ketika bertemu Rochdale dan Arsenal walaupun boleh memilih untuk berehat, sebaliknya dia mahu beraksi.

"Dia mahu cuba beraksi tetapi ia terlalu menyakitkan, jadi kami membuat ujian imbasan dan dia kini hampir pulih.

"Selepas bekerja keras, dia diberikan cuti dan kemudian timbul pula isu gambar itu. Itulah mengenai Man United. Saya tidak mempunyai sebarang masalah mengenainya sama sekali."

Pengurus kelahiran Norway itu juga mempertahankan tindakan The Red Devils tidak mendapatkan pengganti kepada Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez.

"Ia berkaitan dengan budaya yang kami cuba bina, saya perlu membuat keputusan itu.

"Cuma kami dihimpit masalah kecederaan."