MANCHESTER CITY 1 MANCHESTER UNITED 2

Ole Gunnar Solskjaer memuji prestasi Fred susulan kemenangan 2-1 Manchester United ke atas musuh setempat, Manchester City, dalam pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.


Jaringan daripada Marcus Rashford dan Anthony Martial mengesahkan kemenangan United di Stadium Etihad sambil gol Nicolas Otamendi di penghujung perlawanan menjadi sagu hati buat juara bertahan itu.

Kekalahan keempat dalam liga musim ini meninggalkan City 14 mata di belakang pendahulu liga, Liverpool, sementara The Red Devils pula tercicir lapan mata walaupun mencipta kemenangan berturut-turut.

Prestasi Fred bertambah baik sejak beberapa minggu kebelakangan ini selepas kariernya dilontar kritikan pedas, namun dia menyinar ketika menentang City, yang sebelum ini juga dilaporkan berminat untuk menandatanganinya daripada Shakhtar Donetsk.

Persembahan pemain berusia 26 tahun itu sangat penting sehingga mengundang satu insiden buruk dalam babak kedua apabila dibaling dengan objek oleh penyokong tuan rumah selain disyaki menjadi mangsa ejekan perkauman.

"Tidak sangsi lagi dia adalah pemain terbaik dalam perlawanan hari ini," kata Solskjaer kepada wartawan mengenai pemain antarabangsa Brazil itu.

"Dia mengawal bola, dia berdepan Kevin De Bruyne, mungkin dia adalah pemain terbaik dalam liga dan saya fikir dia beraksi dengan sangat bagus.

"Seronok untuk menyaksikannya; barisan pemain saya memang berhak. Mereka berlari dan pastikan pasukan terus dalam satu unit, Scott (McTominay) dan Fred telah membentuk gandingan yang hebat."

Pertembungan itu dicemari oleh insiden buruk ketika United memenangi sepakan sudut dalam babak kedua yang menyaksikan beberapa objek dilontarkan terhadap Fred manakala dia dan rakan sepasukan, Jesse Lingard, kelihatan turut menjadi sasaran ejekan.

City dan Polis Greater Manchester mengesahkan mereka sedang bekerjasama untuk menyiasat kejadian tersebut sementara Solskjaer menyeru penggantungan seumur hidup dalam bola sepak bagi mana-mana individu yang didapati bersalah melakukan kesalahan sedemikian.

Rashford merupakan antara pemain yang bercakap mengenai kejadian itu sambil kapten United, Ashley Young, juga menulis di Twitter: "Seharusnya tidak perlu menyiarkan sesuatu seperti ini kerana saya fikir ia adalah jelas tetapi perkauman tidak mempunyai tempat dalam bola sepak atau masyarakat.

"Syabas kepada Man City kerana pantas mengeluarkan kenyataan, saya harap individu terbabit dapat ditangani."

Insiden Fred itu bakal menjadi tajuk utama, namun Solskjaer berminat untuk menggariskan persembahan United dalam separuh masa pertama dan kepentingan mempertahankan kelebihan dalam merintis kemenangan itu.

"Saya sangat gembira dengan cara kami memulakan permainan," katanya.

"Cara kami mencipta peluang, kami kelihatan seperti kami akan meledak gol setiap kali menguasai bola.

"Hasrat kami adalah untuk menyerang setiap kali kami menguasai bola. Kami bukannya sekadar mahu mengekalkan penguasan bola atau melambatkan-lambatkan permainan. Kami mahu membunuh permainan dan sepatutnya mendahului perlawanan dengan 3-0 atau 4-0.

"Tetapi sekali lagi, kami bermain menentang pasukan terbaik di dunia, jadi kami harus bertahan dengan baik.

"Saya fikir cara kami membuat persediaan sempena perlawanan ini adalah kerana kami sudah mengikuti pasukan itu selama tiga tahun.

"Sangat sukar untuk bertahan ketika bertemu mereka memandangkan mereka begitu bagus. Saya sangat gembira dengan cara barisan pemain saya menangani segala-galanya."