Ole Gunnar Solskjaer mendakwa Jurgen Klopp cuba mempengaruhi pengadil dengan membangkitkan isu sepakan penalti yang kerap berpihak kepada Manchester United.

Klopp berasakan Liverpool seharusnya dihadiahkan sepakan penalti dalam kekalahan tipis kepada Southampton semalam sambil menggariskan jumlah sepakan penalti yang telah dinikmati United.

Di bawah pengurus dari Jerman itu, The Reds telah menerima 46 sepakan penalti termasuk 30 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL). Dalam masa yang sama dan di bawah tiga pengurus yang berbeza, United pula memenangi 67.

Sejak Solskjaer dilantik sebagai pengurus United pada Disember 2018, United telah memenanginya sebanyak 42 kali - 27 daripadanya terhasil dalam liga. Liverpool pula hanya menghasilkan 19 tendangan penalti dalam tempoh itu.

Begitupun, bekas penyerang itu, yang barisan kepimpinannya akan menjadi tuan rumahnya kepada Manchester City dalam separuh akhir Piala Liga Inggeris (EFL) awal pagi esok, menolak perbincangan itu.

"Ini adalah satu hakikat. Ia mungkin menjadi jawapan saya -- hakikatnya kami mendapat lebih banyak sepakan penalti berbanding mereka," kata pengurus United itu kepada wartawan.

"Tetapi mungkin mereka seharusnya mendapatkannya lebih banyak lagi, tidak tahu berapa banyak ia telah berpihak kepada mereka. Saya tidak mengira berapa banyak sepakan penalti yang mereka menangi.

"Jadi jika mereka ingin membuang masa hanya untuk berasa khuatir tentang bilakah pemain saya akan dijatuhkan, maka saya tidak akan menghabiskan waktu untuk itu."



Solskjaer menganggap rakan sejawatannya itu cuba mempengaruhi pengadil dengan membangkitkan isu rekod sepakan penalti United.

"Saya tidak boleh bercakap bagi pihak pengurus lain tentang mengapa mereka membangkitkan perkara seperti ini," katanya.

"Jelas saya berasakan pendekatan itu berjaya dalam separuh akhir Piala FA tahun lalu memandangkan Frank (Lampard, pengurus Chelsea) juga membicarakannya.

"Kami mendapat keadilan yang sewajarnya dan ada yang tidak menyebelahi kami, jadi ini mungkin adalah satu kaedah untuk mempengaruhi pengadil."