Ole Gunnar Solskjaer mengakui kekalahan 1-6 kepada Tottenham Hotspur dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford malam tadi merupakan "hari terburuknya" tetapi berjanji Manchester United akan kembali bangkit.

Skuad The Red Devils itu mendahului seawal minit kedua menerusi jaringan penalti Bruno Fernandes tetapi ketinggalan 1-2 gara-gara gol Tanguy Ndombele dan Son Heung-min tidak lama selepas itu.

Anthony Martial kemudian diarahkan keluar padang selepas didapati menampar muka Erik Lamela, satu momen yang menjadi detik keruntuhan persembahan United apabila Spurs menambah dua lagi jaringan menerusi sentuhan Son dan Harry Kane.

Gol daripada Serge Aurier dan jaringan penalti Kane melengkapkan hari terburuk United, yang kali terakhir tewas di laman sendiri dengan keputusan sama kepada Manchester City pada 2011.

"Saya menyerah diri, ia memang salah saya. Ia amat memalukan. Ia menyakitkan buat semua pemain, ia menyakitkan saya sebagai pengurus," kata Solskjaer.

"Ia hari terburuk saya sebagai pengurus Manchester United dan hari terburuk buat semua pemain United (tetapi) ia bukan hari terburuk dalam sejarah Manchester United, kami pernah bangkit sebelum ini.

"Agak sukar untuk menjelaskannya pada ketika ini. Kami telah tewas 1-6 di laman sendiri kepada pasukan yang amat bagus tetapi kami menjadi penyumbang utama kepada kejatuhan kami," katanya.

Dengan kekalahan itu, termasuk ketika tewas 1-3 kepada Crystal Palace dalam perlawanan pertama, ia sekali lagi mencetuskan perdebatan mengenai pembelian pemain baru United musim ini.

Donny van de Beek masih belum tersenarai dalam kesebelasan utama dan dia satu-satunya pemain baru yang menyertai United musim ini walaupun pasukan itu hangat dikaitan untuk mendapatkan Jadon Sancho daripada Borussia Dortmund.

"Ia bukan mengenai mendapatkan pemain tetapi ia tentang siapa yang berada di sini.

"Hari ini paling buruk. Saya tidak ada perkataan lain selain daripada itu. Terdapat banyak kesilapan hari ini. Kami perlu melihat segala-galanya.

"Ia langsung tidak bagus. Apabila anda tewas seperti ini, anda perlu melihat diri anda di depan cermin.

"Mereka akan pergi menjalani tugasan antarabangsa dan sesiapa yang tidak terlibat mempunyai masa untuk berusaha.

"Ia amat sukar kerana kami perlu bangkit bersama-sama dan berjuang," katanya lagi.