Bekas bek kanan Leicester City, Danny Simpson percaya Ole Gunnar Solskjaer kini di landasan tepat mengembalikan reputasi Manchester United sebagai antara pasukan elit di Liga Perdana Inggeris (EPL).

United menamatkan saingan EPL musim 2019/20 di tempat ketiga, selepas menewaskan Leicester City 2-0 dalam aksi terakhir liga pada Isnin di Stadium King Power.



Kemenangan itu membolehkan United turut kembali bersaingan di Liga Juara-juara Eropah musim depan.

“Solskjaer tampak berjaya mengembalikan DNA United dalam skuad kendaliannya .

“Sebagai bekas pemain, dia tahu mengenai DNA United dan dia menerapkan corak permainan menyerang yang sinonim dengan United.

“Saya percaya pujian wajar diberikan kepada Solskjaer kerana berjaya melakukannya sebagai pengurus United,” kata Simpson ketika menjadi tetamu bersama Gary Stevens dalam siaran langsung aksi Leicester-United yang disiarkan saluran CH813 Astro Supersport.



Stevens turut sependapat dengan Simpson mengenai pencapaian Solskjaer di United meskipun akui bekas pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino masih dikaitkan dengan Red Devils.

“Saya berasa selagi Pochettino masih belum menyertai mana-mana pasukan dia akan terus dikaitkan ke United, melainkan Solskjaer mengembalikan zaman kegemilangan United dan setakat ini dia di landasan tepat.

“Tetapi Pochettino berbeza dengan Solskjaer, begitu juga David Moyes dan setiap pengurus mempunyai cara berbeza dalam mengendalikan pasukan.

“Di United, seseorang pengurus perlu mempunyai kaedah pengurusan sendiri yang sesuai dengan cara kelab itu dan setakat ini cara Solskjaer tampak sesuai.

“Kadang-kala seorang pengurus perlu diberikan masa dan saya berasa Moyes tidak diberikan masa yang lama di United.

“Tetapi juga, kadang-kala cara seseorang pengurus itu tidak sesuai, cara Moyes mungkin tidak sesuai walaupun dia seorang pengurus dengan rekod yang baik.

“Sama dengan Jose Mourinho di Tottenham, walau apa pun pencapaiannya setakat ini di sana, saya masih berasa cara pengurusannya tidak sesuai dengan cara kelab itu,” kata Stevens.