Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, mengharapkan kepulangan Paul Pogba atau Scott McTominay daripada kecederaan menjelang pertemuan Liga Perdana Inggeris menentang Tottenham Hotspur, Rabu ini.

Pogba dan rakan gandingan di bahagian tengah, McTominay, tidak beraksi dalam aksi mengecewakan awal pagi tadi di mana United diikat Aston Villa 2-2 di Old Trafford.

Bintang United, Pogba, diketepikan sejak September lalu akibat kecederaan buku lali sambil McTominay turut ditimpa masalah sama sewaktu menewaskan Brighton and Hove Albion sebelum tempoh rehat antarabangsa lalu.

Memandangkan bekas pengendali United, Mourinho, yang dilaporkan bertelagah dengan Pogba sebelum dipecat pada Disember tahun lalu, kini bersedia untuk kembali ke Manchester selaku pengurus Spurs, Solskjaer memaklumkan perkembangan mengenai barisan tengahnya itu.

"Kami masih mempunyai dua hari dan perlu melihat semua pemain yang ada di sini," katanya ketika ditanya mengenai Pogba dan McTominay.

"Hanya ada dua hari, jadi lihat nanti tetapi diharapkan kami dapat melihat mereka beraksi. Mereka berusaha keras untuk pulih."

United kini menduduki tangga kesembilan liga, dua mata di belakang Spurs yang berada di tempat kelima setelah memenangi kedua-dua perlawanan sejak Mourinho menggantikan Mauricio Pochettino.