Solskjaer harap Cavani kekal di Manchester United

Oleh Muzaffar Musa 12 April 2021 1756
Solskjaer harap Cavani kekal di Manchester United
Ole Gunnar Solskjaer masih berharap pihaknya dapat meyakinkan Edinson Cavani untuk kekal di Manchester United selepas menyaksikan satu lagi aksi luar biasa penyerang itu ketika berdepan Tottenham Hotspur dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.

The Red Devils bangkit daripada ketinggalan untuk meraih kemenangan 1-3 di London dan mengecilkan jurang dengan pendahulu EPL, Manchester City, kepada 11 mata dan berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Jaringan pembukaan Cavani dibatalkan susulan kontroversi semakan video bantuan pengadil (VAR), di mana Scott Mctominay didapati terpukul muka Son Heung-min menjelang jaringan itu.

Son kemudian meletakkan Spurs di depan lima minit kemudian tetapi United melebarkan rekod tanpa kalah mereka di gelanggang lawan kepada 23 perlawanan hasil kebangkitan gemilang dalam babak kedua -- Cavani menanduk masuk hantaran lintang Mason Greenwood selepas membuka laluan untuk Fred menyamakan kedudukan sebelum pemain gantian, Greenwood, turut memahat namanya selaku pejaring dalam waktu kecederaan.

Cavani menandatangani kontrak bersama United selepas meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) tahun lalu tetapi penyerang itu tidak berasa selesa dalam tahun pertamanya di England, di mana pandemik koronavirus telah menyekatnya untuk berjumpa dengan rakan dan keluarganya selain isu perkauman yang turut melibatkannya dalam media sosial sehingga digantung tiga perlawanan pada Januari lalu.

Bapanya sebelum ini pernah mendedahkan hasrat Cavani untuk kembali ke Amerika Selatan dengan Boca Juniors dilihat menjadi destinasi pilihan pemain itu tetapi Solskjaer masih belum berputus asa untuk memastikan penggempurnya itu melanjutkan kontraknya untuk sekurang-kurangnya setahun lagi.

"Edi telah menunjukkan mengapa dia memakai jersi nombor sembilan," kata Solskjaer kepada Sky Sports.

"Kami ada melakukan sedikit perbincangan bersama pemain. Dengan gerakannya, kami perlu memanfaatkannya dengan betul.

"Dia tahu perasaan saya, saya tahu perasaannya. Dia masih belum membuat keputusannya lagi. Saya faham ia merupakan tahun yang sukar buat semua orang tetapi buat pemain baru yang tidak berbahasa Inggeris, tidak biasa dengan budaya Inggeris, berjumpa orang dan berkawan... ia berada di fikiran anda untuk apa yang anda mahukan, anda sedar anda tidak boleh mengetepikan keluarga anda.

"Berdoalah, tetapi jika dia memilih untuk ke sini hanya untuk semusim, kami perlu berasa amat-amat bertuah memilikinya," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen