Ole Gunnar Solskjaer menyambut baik kehadiran semula Paul Pogba, pemain yang disifatkan sebagai "pemain tengah terbaik dunia".

Pogba mengakhiri penantian daripada kecederaan buku lali apabila bertindak sebagai pemain gantian dalam separuh masa kedua ketika tewas 2-0 kepada Watford, Ahad lalu dan dijangka diturunkan bertemu Newcastle di Old Trafford sehari selepas Krismas.

Ia akan menjadi penampilan pertama pemenang Piala Dunia itu sejak September lalu dan Solskjaer tidak sabar untuk menyertakan Pogba ke dalam skuadnya walaupun masih belum pasti mengenai posisi terbaiknya.

Pengurus United itu berkata, "Dia telah bermain baik ketika bertemu Watford. Ia merupakan kelebihan buat pasukan jika kami dapat menurunkan Pogba dalam kesebelasan utama.

"Dia boleh bermain di semua tempat, seluruh barisan tengah. Seorang pemain yang versatil, mampu melakukan hantaran jauh, menyertai jentera tengah ketika menyerang -- bergantung kepada situasi perlawanan.

"Kehadiran Pogba -- seorang pemain tengah terbaik dunia -- dia mampu melakukan segala-galanya.

"Kami akan berbincang dengannya tetapi sangat gembira di atas penampilan semulanya bersama United."

Pogba bakal memperkuat jentera tengah United -- yang sentiasa menjadi titik kelemahan pasukan sepanjang separuh pertama musim ini -- dengan kuad kendalian Solskjaer itu kini di tangga kelapan Liga Perdana Inggeris (EPL), tujuh mata di belakang penghuni tangga keempat, Chelsea.