Ole Gunnar Solskjaer berkata Erling Haaland "tahu apa yang mahu dilakukannya" di sebalik spekulasi penyerang Salzburg berkenaan akan menyertai Manchester United sejurus mencatat keputusan seri 1-1 di kandang Everton hasil jaringan penyamaan Mason Greenwood tengah malam tadi.

Dalam sidang media pasca perlawanan itu, Solskjaer menganggap Greenwood dalam "kelas yang berbeza" tetapi perbincangan itu pantas beralih kepada pemain antarabangsa Norway berusia 19 tahun, Haaland.

Laporan mencadangkan pengurus United berkenaan bakal menerima suntikan dana untuk membawa rakan senegaranya itu ke Old Trafford selepas dia mempamerkan prestasi mengagumkan dalam kempen Liga Juara-Juara (UCL) meskipun Salzburg gagal mara.

"Saya tidak mahu mengulas mengenai spekulasi seperti itu," kata Solskjaer mengenai soal perpindahan pemain.

"(Haaland) tahu apa yang dia mahukan dan tahu apa yang akan dilakukannya, jadi saya tidak perlu memberikan nasihat kepada pemain pasukan lain."

Berkenaan Greenwood terus mempamerkan penyudah berbisanya selepas aksi dalam Liga Europa pada pertengahan minggu lalu, Solskjaer berkata: "Dia memang berhak untuk gol itu. Dia tahu apa yang perlu dilakukan.

"Terlalu banyak peluang yang dilepaskan ekoran penyerang terburu-buru untuk membuat tindakan penyudah tetapi tindakan terbaiknya adalah dengan melambatkannya selama setengah saat lalu dia menyudahkannya."

Jaringan Greenwood itu menyelamatkan maruah United untuk meraih satu mata dan melebarkan rekod tanpa kalah dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam enam perlawanan berturut-turut tetapi mereka tidak dapat menghukum Everton dengan lebih lanjut.

Solskjaer berasakan pasukannya tidak sepatutnya ketinggalan dalam babak pertama dengan mendakwa penjaga gol United, David de Gea, telah dikasari sebelum gol sendiri oleh Victor Lindelof itu sambil menyatakan kekecewaannya terhadap video bantuan pengadil (VAR) yang tetap tidak menyebelahi pasukannya.

"Ia satu pelanggaran, jelas sekali ia seperti itu tetapi tiada gunanya untuk saya mengadu," katanya.

"Ia (VAR) akan bertambah baik tahun depan, pasti kita boleh melihatnya. Ia adalah pelanggaran yang jelas dan semestinya satu kekasaran.

"Mereka mendapat jaringan dan mempunyai sesuatu untuk dipertahankan. Saya tidak mahu mengatakan bahawa kami sentiasa bergelut menentang pasukan bawahan kerana kami tidak sebegitu.

"Ini usaha yang berterusan dan pemain-pemain muda sedang belajar. Tempo kami menguasai bola tidak cukup bagus dan ia perlu digerakkan dengan lebih cepat tetapi barisan pemain saya akan belajar."

Mengenai tempoh 12 bulan pertamanya bertugas di Old Trafford, Solskjaer berkata: "Saya benar-benar menikmatinya. Saya berasakan kami di landasan yang betul. Saya tidak sabar untuk ke tempat kerja kerana mereka ingin belajar dan bertambah baik. "