Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, membidas kritikan Robin van Persie sambil menegaskan bahawa pemain Belanda itu "tidak mempunyai hak" untuk mempersoalkan pendekatannya.

Bertugas untuk BT Sport ketika United tunduk 0-2 kepada Arsenal, Rabu lalu, Van Persie mempersoalkan sikap Solskjaer selepas keputusan yang begitu mengecewakan di Stadium Emirates itu.

"Saya ingin melihatnya menjadi lebih garang, berasa marah," kata bekas penyerang United itu yang ditandatangani Arsenal.

"Saya melihatnya sempat tersenyum selepas perlawanan seperti itu. Ini bukan saatnya untuk tersenyum."

Namun, Solskjaer menjelaskan bahawa dia tidak kagum dengan ulasan terhadapnya menjelang perlawanan Piala FA di Wolves awal pagi esok.

"Saya tidak mengenali Robin dan Robin juga tidak mengenali saya," kata Solskjaer kepada media. "Dia mungkin tidak berhak untuk mengkritik gaya pengurusan saya dan saya tidak akan mengubahnya. Itu sudah semestinya.

"Ya, Robin, dia memakai jersi nombor 20 yang pernah saya pakai di United dan mungkin itu sahaja yang dia akan rampas daripada saya."

United di kedudukan kelima Liga Perdana Inggeris (EPL) tetapi terlepas peluang untuk merapatkan jurang dengan Chelsea apabila terus bergelut untuk mempamerkan persembahan tekal.

Situasi mereka pada awal 2020 juga tidak dibantu berikutan ketiadaan pemain tengah, Paul Pogba, yang dijangka perlu berehat empat minggu lagi ekoran kecederaan buku lali yang terbaru.

Solskjaer mendedahkan masalah itu adalah disebabkan serpihan tulang dengan menjelaskan: "Ia bukan kecederaan besar dan utama."

Pengurus berbangsa Norway itu juga memberi respons kepada komen yang dibuat oleh ejen pemain itu, Mino Raiola, mengenai masa depan pemain Perancis berkenaan di Old Trafford.

Ditanya sama ada ejen harus menawarkan pendapat mereka mengenai situasi kelab, Solskjaer menjawab: "Tidak."

Beliau menambah: "Saya tidak fikir saya perlu bercakap dengan ejen atau ejen bercakap tentang kami tetapi Paul Pogba adalah pemain manakala ejen pula diupah oleh pemain, bukan sebaliknya. Apa yang dibincangkan di antara saya dan Paul Pogba, saya tidak perlu dedahkannya kepada anda. "

Berikutan Pogba menyertai Scott McTominay dalam senarai kecederaan, Nemanja Matic bukan sahaja akan kekal dalam jendela perpindahan bulan ini, bahkan mungkin melanjutkan kontraknya di kelab itu melepasi musim 2019-20.

"Nemanja akan kekal, dia telah bekerja keras untuk kembali dan sekarang dia berada di sini dan bermain dengan baik," kata Solskjaer, yang menambah "akan selalu ada peluang" buat pemain antarabangsa Serbia itu mendapatkan kontrak baru.



Editor: Shaiful Shamsudin