Bintang Celtic, Scott Sinclair, berharap juara Scotland itu mampu memuktamadkan perjanjian untuk mengikat bekas kapten England, Steven Gerrard.

Gerrard berpeluang untuk meneruskan kariernya sebagai pemain, selain turut berpeluang menceburi bidang kejurulatihan selepas memutuskan untuk tidak menyambung kontraknya bersama LA Galaxy.

Bekas pengurusnya di Liverpool, Brendan Rodgers, dilaporkan berada di barisan hadapan untuk menawarkan kontrak kepada Gerrard sebagai pemain biarpun bekas ketua pasukan di Anfield itu dikaitkan kembali ke kelab lamanya itu selaku jurulatih.

Bos The Reds ketika ini, Jurgen Klopp, sentiasa mengalu-alukan kepulangan Gerrard ke kelab itu.

"Ia suatu perkara yang besar seandainya dia hadir di sini, ia sukar dipercayai," kata Sinclair.

"Para penyokong akan menyukainya dan merupakan perjanjian besar dalam bola sepak.

"Dia merupakan pemain berkelas dunia, maka saya pasti ramai pemain akan belajar daripadanya."