Silva setuju sarung jersi Sociedad 

Oleh Shaiful Shamsudin 18 Ogos 2020 447
Silva setuju sarung jersi Sociedad 
David Silva kembali mewarnai LaLiga selepas meninggalkan Manchester City apabila menyertai Real Sociedad tanpa sebarang yuran perpindahan. 

Selepas 10 tahun berkelana ke City dengan perjuangan mereka musim ini ternoktah selepas tersungkur kepada Lyon dalam Liga Juara-Juara (UCL) hujung minggu lalu, Silva sempat dikaitkan dengan kelab Serie A, Lazio.

Sebaliknya, Sociedad berhasil mendapatkan tandatangannya, dengan Silva -- yang meninggalkan Valencia pada 2010 untuk meneruskan kariernya di England -- memilih untuk kembali ke tanah air.

Pemain berusia 34 tahun tersebut, yang memenangi empat gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL),  lima trofi Piala Liga Inggeris (EFL) dan dua Piala FA sepanjang membarisi The Citizens, bersetuju memeterai perjanjian selama dua tahun di kelab yang berpangkalan di Basque itu.

Sociedad, yang menyerahkan Silva jersi bernombor 21, menduduki tangga keenam LaLiga dalam kempen 2019-20 biarpun hanya menang dua kali daripada baki 11 perlawanan sebaik saingan kembali bersambung Jun lalu. 

Mereka layak ke perlawanan Copa del Rey pada Mac lalu walaupun kejohanan itu telah ditangguhkan atas permintaan kedua-dua pasukan termasuk  seteru Basque, Athletic Bilbao, sehinggalah penyokong dibenarkan ke stadium atas kekangan wabak COVID-19. 

 

City memperkenalkan tugu Silva di Stadium Etihad selain gambarnya di mozek yang didedikasikan kepadanya di akademi kelab itu bagi mengiktiraf sumbangannya terhadap kejayaan membelasah Manchester United 6-1 pada 2011.

Dalam catatan di akaun Twitter rasminya, dia menciap: "Masanya telah tiba. Selepas 10 tahun dan meraih 13 gelaran, sudah tiba masanya untuk saya mengucapkan selamat tinggal kepada kelab yang telah meninggalkan tanda yang luar biasa dalam hidup dan karier saya.

"City dan saya telah berkembang bersama-sama. Dalam tempoh 10 tahun ini, saya telah berkembang secara peribadi dan profesional. Saya telah meraikan banyak kemenangan dan gelaran selain berdepan detik-detik hebat.

"Sangat gembira berpeluang menyarung jersi berwarna biru langit ini termasuk memakai lilitan kapten kelab ini, berkongsi bilik persalinan dengan pemain dan pengurus terbaik di dunia serta bekerjasama rapat dengan wakil kelab dan ahli lembaga terbaik dalam kancah ini.

"Saya berharap City akan mencapai kejayaan yang lebih besar lagi pada masa depan. Saya akan menyokong pasukan ini dari jauh. Saya sangat gembira dapat berkongsi detik-detik yang tidak dapat dilupakan ini bersama keluarga City."

Silva membuat 27 penampilan EPL pada 2019-20 dengan menyumbangkan enam gol dan mencipta 10 bantuan jaringan. 

   

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen