Ketua jurulatih Watford, Marco Silva, letih apabila terus dikaitkan dengan jawatan pengurus di Everton dan menolak untuk memberikan kenyataan tentangnya.

Everton kini tidak mempunyai pengurus tetap selepas Ronald Koeman dipecat pada 23 Oktober lalu, susulan permulaan musim yang teruk dan kini jawatan itu digalas sementara oleh David Unsworth.

Beberapa nama telah dikaitkan untuk ke Goodison Park seperti Sean Dyche, Sam Allardyce dan Diego Simeone, tetapi Silva muncul sebagai pilihan utama dan Everton dikhabarkan menawarkan GBP12 juta (RM65 juta) untuk mendapatkan khidmat pengendali dari Portugal itu.

"Saya akan menjawab hanya untuk membuatkan anda berhenti kerana saya tidak suka bercakap tentang spekulasi ini," kata Silva menjelang aksi Liga Inggeris menentang Newcastle United, esok.

"Jika anda sukakan khabar angin, teruskan tetapi tidak bagi saya kerana kadangkala jika saya mengeluarkan kenyataan, anda akan mengubahnya.

"Saya tidak akan memberikan kerjasama dalam situasi ini. Untuk Watford bertemu Newcastle, saya boleh menjawab 10 hingga 20 soalan," tambahnya.

Silva kemudian menjelaskan bagaimana dirinya boleh kekal setia dengan pasukan yang telah menggunakan khidmat lima pengurus dalam masa empat tahun.

"Jika anda mahu, saya boleh memanggil pemilik kelab, Gino Pozzo, dan dia akan menyediakan soalan untuk anda," ujarnya.