Silva kagumi sepakan percuma cantik Digne

Oleh Penulis Jemputan 11 Disember 2018 218
Silva kagumi sepakan percuma cantik Digne
Pengurus Everton, Marco Silva, memuji Lucas Digne selepas pemain pertahanan itu menghasilkan sepakan percuma mempesonakan ketika The Toffees mengikat Watford 2-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Goodison Park, awal pagi tadi.

Bekas pertahanan Barcelona itu menjaringkan gol dramatik pada minit ke-96 yang membantu Everton meraih satu mata berharga.

Ia merupakan gol pertama Digne sejak tiba daripada Barcelona awal musim ini dan Silva tidak teragak-agak untuk memuji pemain berusia 25 tahun itu.

"Ia merupakan detik terhebat buatnya.

"Dia bukan sahaja memaparkan kualiti yang dimiliki, malah turut membuktikan perwatakan besasnya sebaik memilih untuk mengambil sepakan percuma itu.

"Ramai menyangkakan Gylfi Siggurdsson akan mengambil sepakan itu kerana memiliki kemahiran kaki kanan yang baik.

"Namun, Lucas telah membuktikan kemampuannya.

"Dia pasti berbangga dengan apa yang telah dilakukannya untuk pasukan," katanya.

Walaupun mengagumi sepakan percuma Digne, Silva menyelar prestasi keseluruhan pasukan dalam babak kedua.

Watford memperoleh dua gol pantas dalam babak itu menerusi jaringan sendiri Seamus Coleman dan Abdoulaye Doucoure.

"Saya memberitahu pemain yang saya tidak menggemari aksi mereka dalam separuh masa kedua.

"Ia bukan aksi yang normal buat kami.

"Kami perlu memaparkan kualiti dan menjaringkan gol kedua lebih awal.

"kami tidak sepatutnya dibolosi dua kali dalam tempoh tiga minit.

"Mujur kami berjaya menjaringkan gol penyamaan di penghujung perlawanan," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen