Silva diberi cuti lawan Shakhtar Donetsk 

Oleh Penulis Jemputan 5 Disember 2017 810
Silva diberi cuti lawan Shakhtar Donetsk 
David Silva direhatkan dalam kunjungan Manchester City ke Shakhtar Donetsk untuk aksi Kumpulan F, Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi Khamis nanti. 

Dalam satu kenyataan dalam laman sesawang rasminya, City menyatakan keadaan perancang itu tidak berada berada di tahap yang sesuai biarpun sempat menjadi wira menerusi jaringan kemenangan pada minit ke-83 ketika menentang West Ham di Stadium Etihad, semalam. 

City sudah pun layak ke pusingan 16 selepas memenangi kesemua lima perlawanan terdahulu dan Pep Guardiola dijangka akan menurunkan barisan kedua sebagai persiapan menghadapi 'derby' Manchester di Old Trafford, hujung minggu ini. 

Pemain remaja, Phil Foden dan Brahim Diaz, akan  melakukan penampilan sulung dalam UCL selepas dimasukkan sebagai pemain gantian dalam kemenangan 1-0 ke atas Feyenoord sebelum ini sementara produk akademi, Tosin Adarabioyo dan Daniel Grimshaw, turut tersenarai. 

Kevin De Bruyne digantung perlawanan kerana tiga kad kuning, namun Silva merupakan satu-satunya pemain senior yang tidak tersenarai bersama-sama pemain tercedera, Benjamin Mendy dan John Stones.

"Di dalam bilik persalinan, saya berpesan kepada pemain bahawa sesiapa yang tidak mahu bermain menentang Shakhtar, beritahu saya," kata Guardiola selepas perlawanan dengan West Ham, yang menyatakan bahawa perlawanan akan datang di Ukraine bukannya pertemuan biasa. 

"Ketika kami menaiki bas dan pesawat ke Ukraine, saya akan mempersiapkan pelan untuk memenangi perlawanan -- ini kerana kami menghormati Shakhtar, menghormati Napoli dan menghormati pencabar lain.

"Ia adalah peluang besar untuk mendapatkan 18 mata maksimum, ia sesuatu yang berprestij untuk kelab. Cara terbaik untuk bersiap bertemu United adalah bermain dengan baik menentang Shakhtar," ujarnya.

Shakhtar mengumpul sembilan mata dan kini menduduki tangga kedua Kumpulan F hasil kemenangan ke atas Napoli dan dua kekalahan kepada City.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen