Thiago Silva mengakui penampilan pertamanya dalam Liga Bolasepak Inggeris (EPL) mengundangkan sakit kepalanya sambil menyatakan keinginan untuk meneruskan karier di Chelsea.

Silva menyertai dengan The Blues secara percuma Ogos lalu sejurus kontraknya tidak dipanjang Paris Saint-Germain (PSG).

Bekas kapten kelab Ligue 1 itu sudah mencecah berusia 36 tahun namun mampu memberi kesan segera di Stamford Bridge, apabila berjaya mengelakkan kekalahan dalam lapan perlawanan pertamanya bagi membantu jaguh dari London berkenaan melonjakkan ke tangga kelima EPL selain telah merangsang prestasi mereka.

Dalam tugasan bersama Brazil di peringkat antarabangsa, Silva ditanya bagaimana bola sepak Inggeris jika dibandingkan dengan Ligue 1 dan Serie A memandangkan dia juga pernah membintangi Milan.

"Mereka adalah tiga sekolah bola sepak yang sangat berbeza," katanya dalam sidang akhbar.

"Saya meraih pengalaman hebat di Itali, salah satu sekolah terbaik buat pemain benteng dan fasa bertahan.

"Saya juga mempunyai sahabat yang hebat pada masa awal karier di sana saya pernah bergandingan dengan pemain seperti Paolo Maldini dan Alessandro Nesta selama dua tahun, jadi saya banyak belajar daripada mereka.

"Kejuaraan di Perancis lebih fizikal sedikit, lebih berdaya saing dan ketika ini PSG menonjol daripada lawan jadi mereka perlu mengambil risiko yang lebih banyak.

"Dalam EPL pula, dua perlawanan terakhir membuatkan saya sakit kepala kerana berdepan hantaran tinggi sepanjang permainan dan dengan rentak perlawanan yang begitu tinggi, ia sangat berbeza dengan dua liga lain.

"Saya belajar daripada semua situasi itu dan mempraktikkannya bagi membantu pemain muda."




Lima kali Silva terbabit dengan perebutan bola di udara ketika menentang Sheffield United dan Burnley, di sebalik hanya lima kali diuji sebegitu dalam tiga perlawanan awal liga.

Pemain antarabangsa Brazil itu telah memenangi lapan daripada 15 pertembungan di udara musim ini.

Dalam Ligue 1 pada 2019-20, Silva hanya diuji lima kali atau lebih dalam situasi bola di udara sepanjang empat perlawanan -- memenangi 31 daripada 50 situasi itu sepanjang kempen berkenaan -- jumlah terendahnya sepanjang memperkuatkan PSG.

Silva enggan berputus asa dengan pengalaman awalnya di England, sebaliknya berminat untuk melanjutkan kontrak 12 bulan yang dimeterainya Ogos lalu dengan pilihan untuk memanjangkannya pada tahun berikutnya.

"Ini adalah pengalaman pertama saya dalam EPL tetapi saya berharap dapat terus melakukannya dengan baik dan memperbaharui kontrak," tambahnya.

Silva telah membuat lima hadangan penting setakat ini, jumlah terbanyak berbanding mana-mana pertahanan Chelsea yang lain sementara rakan sepasukannya, Kurt Zouma, 36 kali mengeluarkan bola dari kawasan bahaya sepanjang 18 kemunculannya.

Fikayo Tomori (96.6 peratus), yang diberi kesempatan hanya 45 minit, muncul satu-satunya tonggak skuad bimbingan Frank Lampard itu yang mengatasi ketepatan hantaran Silva, iaitu sebanyak 92.8 peratus.